
TONGOD – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Naim Kurniawan Moktar berkata, kerjasama yang diberikan oleh semua komponen parti dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan setakat ini berada pada tahap yang amat memberangsangkan.
Menurut Naim, sokongan bukan sahaja diterima daripada jentera BN, malah turut melibatkan pimpinan dan jentera parti rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat bahagian termasuk Lamag, Kuamut dan Sukau.
“Setakat hari ini, bantuan dan kerjasama yang diberikan sangat baik.
“Ketua-ketua bahagian GRS serta pemimpin kerajaan di peringkat akar umbi seperti ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua-ketua parti di peringkat kampung sentiasa hadir dan bersama dalam program kempen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada lawatan ke PDM Saguan, di sini, pada Isnin.
Naim turut menzahirkan rasa syukur atas kesepaduan yang ditunjukkan oleh semua pihak dan yakin gabungan kukuh itu mampu membawa pembangunan yang lebih baik kepada kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Saya percaya berkat gabungan ini, kemajuan dapat dipacu pada kadar yang lebih baik demi kepentingan rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendiriannya untuk tidak menabur janji yang tidak mampu ditunaikan semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.
“Saya berpegang kepada prinsip tidak menjanjikan bulan dan bintang. Pada pandangan saya, pengundi hari ini semakin pintar. Jika janji tidak dapat ditunaikan, akhirnya saya sendiri yang akan dihukum.
“Apa yang boleh saya janjikan ialah untuk terus bersama rakyat, sama ada di kala senang atau susah, ketika ribut mahupun panas terik. Saya akan terus bersuara dan memperjuangkan kepentingan rakyat, sama ada berada di blok kerajaan atau pembangkang, demi memastikan pembangunan terus dibawa ke kawasan ini,” ujarnya.






