
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab berbahas dengan konstruktif pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang bermula esok.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu disampaikan Perdana Menteri semasa sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama dengan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.
“Perdana Menteri sampaikan pesanan untuk kita memberikan fokus kepada tugas.
“Secara umum, beliau mengingatkan kita sebagai Ahli Parlimen, kita ada tanggungjawab bukan hanya untuk hadir, tetapi untuk berbahas dengan baik dalam sidang,” kata Fahmi kepada Bernama.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, sesi taklimat yang berlangsung selama kira-kira dua jam bermula jam 2.30 petang tadi juga adalah platform bagi Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara Kerajaan Perpaduan mengeratkan silaturahim sebelum sidang Parlimen bermula.
Beliau turut mengesahkan bahawa empat rang undang-undang (RUU) menjadi keutamaan kerajaan untuk dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.
RUU itu berkaitan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh, RUU pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara, RUU Ombudsman 2025 dan RUU berkaitan Akta Kebebasan Maklumat.
Terdahulu, Perdana Menteri meninggalkan Kompleks Seri Perdana pada jam 4.20 petang selepas mempengerusikan taklimat berkenaan dan sempat menyapa pengamal media yang berkampung bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan bermula esok dengan titah Yang di-Pertuan, Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat itu.







