
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik langkah Kementerian Pertahanan (MINDEF) melaksanakan rombakan pelan antirasuah secara besar-besaran sebagai usaha tegas membanteras rasuah serta kecurangan kuasa dalam sistem pertahanan negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan tersebut mencerminkan komitmen serius kepimpinan MINDEF dalam memperkukuh tadbir urus dan integriti, khususnya selepas siasatan melibatkan pegawai-pegawai tertinggi kementerian itu dijalankan.
Menurut beliau, pendekatan yang diambil MINDEF wajar dijadikan contoh kepada agensi kerajaan lain kerana menunjukkan kesediaan untuk melakukan pembetulan secara menyeluruh selepas berlakunya pendedahan salah laku.
“Ia sangat bagus dan kenyataan (Menteri Pertahanan) amat dialu-alukan. Secara peribadi saya amat menunggu kenyataan sebegini daripada Menteri Persekutuan.
“Beliau juga menyatakan secara jelas (tindakan yang akan diambil), jadi SPRM juga akan memainkan peranan kami,” katanya memetik laporan BH.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan HELP University serta Pelancaran Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026, di sini.
Semalam, MINDEF mengumumkan akan melaksanakan rombakan pelan antirasuah secara besar-besaran tahun ini bagi membanteras rasuah dan segala bentuk kecurangan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional, khususnya melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan berkata menerusi langkah tersebut, semua proses tender dan perolehan akan disemak semula serta diperbaiki selaras dengan amalan terbaik.
Beliau turut memberi amaran bahawa pegawai yang terlibat akan kehilangan segala-galanya sekiranya perbuatan mereka menjadi punca sektor keselamatan negara dikompromi.
Usaha membanteras rasuah dan kecurangan kuasa itu merupakan antara empat teras pelarasan utama MINDEF bagi tahun 2026, yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan tadbir urus, integriti serta kebertanggungjawaban dalam sistem pertahanan negara.






