Bekas Panglima Tentera Darat mohon bersara awal – Khaled Nordin

PERMOHONAN bersara awal oleh bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkuat kuasa 1 Januari lalu membolehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan proses pencarian Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu, selepas pelantikan beliau ke jawatan berkenaan sebelum ini ditangguhkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasrat berkenaan dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang diserahkan oleh peguam Muhammad Hafizuddeain, yang kini sedang bercuti.

“Saya ingin memaklumkan sudah menerima surat daripada peguam Muhammad Hafizuddeain yang kini sedang bercuti dan memaklumkan hasratnya untuk bersara awal daripada Angkatan Tentera Darat bermula 1 Januari tahun ini.

“Maka dengan permohonan untuk bersara awal ini, ia membolehkan kita memulakan proses untuk mencari pengganti kerana seperti kita sedia maklum, Majlis Angkatan Tentera sebelum ini sudah membuat keputusan untuk beliau menjadi PAT.

“Tetapi keputusan (majlis) ditangguhkan kerana kes yang beliau hadapi dan keputusan untuk menjawat jawatan PAT sepatutnya pada 1 Januari tahun ini tidak dilaksanakan serta ditangguhkan. Maka dengan pengumumannya untuk bersara awal bermula 1 Januari, jawatan PAT itu kosong,” katanya memetik laporan BH.

Pada 31 Disember lalu, Mohamed Khaled mengumumkan bahawa pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera, yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631, telah ditangguhkan.

Pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai PAT diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung pada 19 November lalu dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada 1 Disember.

Dalam mesyuarat sama, turut diputuskan pelantikan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman, sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata keputusan Muhammad Hafizuddeain untuk bersara awal antara lain bertujuan membolehkan ATM mengisi kekosongan jawatan tertinggi itu.

“Sekarang posisi (jawatan) itu dipangku Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain, jadi proses untuk memulakan pencarian PAT akan dilakukan sebelum kelulusan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Ia juga menjadi antara sebab beliau memohon untuk persaraan awal, bagi membolehkan kita mengisi jawatan PAT. Namun soal jawatan tertinggi ini adalah membabitkan proses di mana Majlis Angkatan Tentera akan memainkan peranan sebelum ia diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

“Sekiranya Tuanku tidak bersetuju dengan mana-mana nama itu, maka kita akan bawakan lagi nama sehingga Tuanku perkenan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bekas Panglima Tentera Darat itu bersama dua isterinya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat Malaysia (TDM).

SPRM memaklumkan bahawa Muhammad Hafizuddeain dikehendaki hadir memberi keterangan pada 28 Disember lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.

Pada 23 Disember lalu, SPRM turut hadir ke Kementerian Pertahanan bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek yang membabitkan Tentera Darat sejak tahun 2023.

Dalam perkembangan sama, SPRM menyita enam akaun bank milik pegawai terbabit dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan, selain menyita tiga jongkong emas, beberapa kenderaan mewah serta 23 utas jam tangan jenama Rolex.

Sebelum itu, Mohamed Khaled mengesahkan Tan Sri Muhammad Hafizuddeain telah diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan terhadap kes yang dilaporkan ke atas beliau selesai.

Related Posts

Bekalan minyak negara masih mencukupi, RON95 bersubsidi kekal RM1.99 seliter- PM

BUKIT MERTAJAM – Bekalan petrol dan diesel negara masih mencukupi ketika ini meskipun konflik di Asia Barat dan keadaan ekonomi global memberi tekanan terhadap rantaian bekalan tenaga dunia, kata Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan akan ambil langkah drastik sedia pekerjaan alternatif

SEBERANG PERAI – Kerajaan sedang mengambil langkah drastik bagi memperbaiki tahap pasaran pekerjaan di negara ini sekali gus komited menyediakan pekerjaan alternatif susulan laporan isu kehilangan pekerjaan membabitkan seramai 7,057…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kes tikam ibu tunggal, ejen hartanah diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Kes tikam ibu tunggal, ejen hartanah diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Bekalan minyak negara masih mencukupi, RON95 bersubsidi kekal RM1.99 seliter- PM

Bekalan minyak negara masih mencukupi, RON95 bersubsidi kekal RM1.99 seliter- PM

Polis siasat hantaran Facebook berbaur provokasi kaum, agama

Polis siasat hantaran Facebook berbaur provokasi kaum, agama

Kerajaan akan ambil langkah drastik sedia pekerjaan alternatif

Kerajaan akan ambil langkah drastik sedia pekerjaan alternatif

Kecurian 100 meter kabel jejas sistem semboyan, operasi ETS dan KTM Komuter Utara tergendala

Kecurian 100 meter kabel jejas sistem semboyan, operasi ETS dan KTM Komuter Utara tergendala

PKR susun semula jentera pilihan raya, Amirudin dan Saifuddin diberi peranan utama

PKR susun semula jentera pilihan raya, Amirudin dan Saifuddin diberi peranan utama