
KUANTAN – Bermula dengan cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif ‘Kampung Angkat MADANI’ berjaya diterjemahkan menjadi pembangunan yang nyata dan menyeluruh di peringkat akar umbi.
Antara kampung yang mendapat manfaat secara langsung adalah Kampung Chengal Lempong, dekat sini.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, satu majlis penyampaian projek pembangunan yang siap sepenuhnya bagi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan komuniti diadakan di balai raya kampung berkenaan, baru-baru ini.
“Antara pembangunan yang dilaksanakan di Kampung Chengal Lempong adalah baik pulih dan naik taraf jalan kampung itu, pembinaan baharu dan naik taraf jalan pengkalan nelayan, pembinaan baharu jalan pintasan kubur dan pembinaan gelanggang futsal berbumbung.
“Turut dilaksanakan adalah kerja baik pulih 16 kediaman penduduk yang dalam keadaan daif sebelum ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Majlis di balai raya kampung itu turut dihadiri Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Razihan Adzharuddin dan Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Sharuddin Jali.
Ahmad Farhan berkata, projek berkenaan adalah antara usaha kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk kampung dan memberi keselesaan kepada mereka.
Lebih 83,000 penduduk di 43 kampung yang terlibat dalam Program Kampung Angkat MADANI di seluruh negara merasai manfaat menerusi inisiatif itu.
“Dengan pelaksanaan program ini, diharapkan akan ada peningkatan dalam taraf hidup dan kualiti kehidupan keluarga setempat, serta mewujudkan suasana hidup yang lebih harmoni dan sejahtera,” kata Ahmad Farhan.






