
RANAU – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun mengarahkan tindakan segera diambil termasuk kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem saliran air sungai susulan kejadian banjir yang melanda Kampung Mohimboyon dan Kampung Lipantai pada Jumaat malam lalu.
Beliau berkata, antara tindakan yang dilaksanakan segera ialah pembersihan sistem perparitan, pemasangan paip pembentung baharu, penambahbaikan laluan air serta penyelenggaraan kemudahan awam yang terjejas bagi mengelakkan risiko banjir berulang.
“Langkah berkenaan penting bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu,” kata beliau dalam kenyataan media, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian itu, sebanyak 19 buah kenderaan yang terperangkap akibat laluan dinaiki air berjaya diselamatkan oleh sukarelawan pacuan empat roda daripada Kundasang Highland Four Wheel Drive Club (KH4WDC), Kilimu Garage (KGR) dan Red Army 4X4.

Pihak polis turut menjalankan pemantauan di kedua-dua kampung berkenaan bagi memastikan keadaan terkawal dan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.
Beliau berkata, sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, akan memastikan Pusat Khidmat DUN Karanaan sentiasa bersiap sedia untuk memantau serta memberi bantuan kepada kawasan yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh berikutan hujan lebat.



