
KERAJAAN menegaskan komitmen untuk terus mengambil tindakan tegas terhadap kes rasuah berprofil tinggi, termasuk yang melibatkan bekas pemimpin tertinggi negara, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras rasuah dan memperkukuh integriti pentadbiran negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rasuah bukan sahaja berleluasa, malah bersifat sistemik dan memerlukan usaha yang besar serta berterusan bagi menanganinya secara menyeluruh.
“Walaupun ada kejayaan, kita masih berdepan isu besar. Anda juga sedar bahawa dalam kalangan pemimpin politik, termasuk pembangkang, sokongan tidak begitu kuat.
“Setiap kali kerajaan menyentuh pemimpin besar atau tokoh korporat utama, akan ada suara yang mempertikaikan tindakan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pembukaan rasmi Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) di Zoo Negara, hari ini.
Anwar berkata, beliau akan terus memantau Kabinet serta keseluruhan jentera kerajaan dengan rapi bagi memastikan prinsip integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik sentiasa dipelihara.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keperluan melakukan reformasi besar-besaran dalam pasukan pertahanan negara susulan siasatan kes rasuah melibatkan pasukan berkenaan, Anwar berkata, tahap penguatkuasaan ketika ini adalah lebih berkesan berbanding beberapa tahun lalu dan wajar dibanggakan.
“Saya tidak mengatakan bahawa saya berpuas hati sepenuhnya. Tetapi saya memuji agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Imigresen dan lain-lain,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kelmarin Majistret Ezrene Zakariah membenarkan SPRM menahan reman bekas Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat.
Turut ditahan ialah isteri bekas panglima berkenaan yang direman selama enam hari bermula kelmarin hingga Selasa, manakala seorang lagi isterinya direman selama tiga hari sehingga Sabtu ini.
Sebelum ini, BH melaporkan bahawa SPRM telah mengenal pasti beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kes rasuah berkaitan seorang pegawai kanan Tentera Darat.
Petunjuk terbaharu itu diperoleh hasil siasatan agensi berkenaan terhadap beberapa projek tender perolehan TDM yang sedang giat dijalankan sejak beberapa minggu lalu.
SPRM turut menyita enam akaun bank yang dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan dakwaan rasuah melibatkan perolehan projek TDM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika mengesahkan perkara itu berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes berkenaan.





