Balai Polis Beladin berwajah baharu, lambang kemajuan infrastruktur keselamatan

BELADIN – Lebih empat dekad selepas penubuhannya, Balai Polis Beladin kini tampil dengan wajah baharu yang moden dan memiliki infrastruktur lebih lengkap, sekali gus menjadi mercu tanda kemajuan pembangunan prasarana keselamatan demi kesejahteraan masyarakat setempat.

Sejarah penubuhan balai berkenaan bermula pada sekitar tahun 1982 apabila Pondok Polis Beladin diwujudkan atas inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pusa ketika itu, Allahyarham Zainuddin Satem. Sebuah rumah penduduk telah dibeli dan dijadikan pondok polis dengan hanya seorang anggota ditugaskan bagi menjaga keselamatan kawasan.

Pada tahun 1990, operasi pondok polis itu dipindahkan ke bekas bangunan pejabat kontraktor di tebing Batang Saribas. Ketika itu, penempatannya belum diwartakan secara rasmi dan masih bergantung kepada seorang anggota yang dipinjamkan dari Balai Polis Pusa.

Namun, landskap keselamatan di Beladin berubah ketara apabila balai tersebut dinaik taraf sepenuhnya dengan pelbagai kemudahan moden. Antara fasiliti yang disediakan termasuk ruang pejabat pentadbiran, padang kawad, stor barang kes, surau, gelanggang sukan, kawasan parkir serta kemudahan perumahan melibatkan 18 unit kuarters Kelas G dan satu unit kuarters Kelas E yang lebih selesa. Perkembangan ini mencerminkan keutamaan PDRM terhadap kebajikan pegawai dan anggota.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Polis (CP) Gilberd Philip Layang berkata, pembinaan Balai Polis Beladin yang serba moden itu melambangkan komitmen berterusan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan serta menjaga kebajikan warganya.

“Penyediaan prasarana yang kondusif ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan perkhidmatan keselamatan, malah memperlihatkan usaha berterusan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Balai Polis Beladin, di sini, pada Khamis.

Menurut Gilberd, kawasan Beladin mempunyai keistimewaan tersendiri dengan kepelbagaian masyarakat, hubungan komuniti yang erat serta keperluan keselamatan yang semakin berkembang seiring perubahan semasa.

“Balai Polis Beladin mentadbir kawasan dengan jumlah penduduk seramai 12,104 orang dan lokasinya yang strategik berhampiran Jalan Maludam menjadikan peranannya amat signifikan.

“Kehadiran balai yang kini berwajah baharu dan bernilai tambah ini menjadi kebanggaan warga PDRM di Beladin dan juga Daerah Betong,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kemudahan berkualiti yang disediakan mampu meningkatkan keselesaan, semangat kerja dan profesionalisme dalam kalangan pegawai serta anggota.

“Dengan persekitaran kerja yang lebih tersusun dan kemudahan yang lebih baik, saya yakin warga PDRM di sini dapat melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan responsif terhadap keperluan masyarakat.

“Harapan kita agar balai ini terus berfungsi sebagai benteng keselamatan yang kukuh demi memastikan penduduk Beladin dan kawasan sekitarnya menikmati kehidupan yang aman, tenteram dan sejahtera,” katanya lagi.

Balai Polis Beladin dibina di atas tapak seluas 1.4961 hektar, dengan pembinaan bermula pada 11 April 2016 dan siap sepenuhnya pada 16 Januari 2019. Penyerahan rasmi projek telah dilaksanakan pada 17 Januari 2019 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Secara keseluruhan, projek pembinaan Balai Polis Beladin melibatkan kos berjumlah RM21.18 juta.

Foto: Berita RTM

Related Posts

Pahang buru bakat baharu sepak takraw, termasuk anak Orang Asli

MARAN – Kerajaan Pahang bertekad menjadikan kejohanan Sepak Takraw League Pahang 1st sebagai platform utama mencungkil bakat baharu dari seluruh negeri, termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Menteri Besar Pahang,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
59 peserta Tafaqquh Fiddin tamat pengajian

TEMERLOH – Seramai 59 peserta, termasuk warga emas tekun mengikuti pengajian Tafaqquh Fiddin anjuran Yayasan Pahang di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam, dekat Temerloh Jaya sejak 312 minggu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pahang buru bakat baharu sepak takraw, termasuk anak Orang Asli

Pahang buru bakat baharu sepak takraw, termasuk anak Orang Asli

Belanjawan 2027: Kebajikan mahasiswa diberi perhatian – PM

Belanjawan 2027: Kebajikan mahasiswa diberi perhatian – PM

Generasi muda perlu berani bersuara, tolak rasuah dan salah guna kuasa – PM

Generasi muda perlu berani bersuara, tolak rasuah dan salah guna kuasa – PM

Kuasai AI secara serius, jangan biar teknologi hakis nilai kemanusiaan dan prinsip hidup – PM

Kuasai AI secara serius, jangan biar teknologi hakis nilai kemanusiaan dan prinsip hidup – PM

Anak muda bukan hanya pemimpin masa depan, tetapi pemimpin masa kini – PM

Anak muda bukan hanya pemimpin masa depan, tetapi pemimpin masa kini – PM

59 peserta Tafaqquh Fiddin tamat pengajian

59 peserta Tafaqquh Fiddin tamat pengajian