Manchester United
MANCHESTER United menutup tahun 2025 dengan keputusan mengecewakan apabila terikat 1-1 menentang Wolverhampton Wanderers di Old Trafford, awal pagi tadi.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris berkenaan meraih mata ketiga musim ini.
Keputusan itu menamatkan siri 11 kekalahan berturut-turut Wolves dalam liga, dengan pasukan kendalian Rob Edwards mempamerkan aksi berdisiplin untuk menggagalkan usaha United yang berhasrat kembali menembusi kelompok empat teratas.
Penyerang Belanda, Joshua Zirkzee, memanfaatkan peluang bermula dalam kesebelasan utama apabila meletakkan United di hadapan pada minit ke-27, melepaskan rembatan yang terkena pertahanan Ladislav Krejci sebelum menewaskan penjaga gol.
United hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-39 namun tandukan Benjamin Sesko sekadar menggegar tiang, melengkapkan malam yang mengecewakan buat penyerang Slovenia berusia 22 tahun itu.
Wolves bagaimanapun enggan mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat menerusi tandukan Krejci, selepas Zirkzee menanduk bola ke tengah kotak.
Babak kedua menyaksikan tempo permainan kekal tinggi.
Penjaga gol Wolves, Jose Sa, bertindak cemerlang menghalang tandukan rakan sepasukan Yerson Mosquera daripada menerjah gawang sendiri, manakala penjaga gol United, Senne Lammens, melakukan dua aksi menyelamat berturut-turut untuk menafikan percubaan Krejci dan Mosquera.
United menyangka sudah meraih kemenangan pada minit ke-90 menerusi jaringan Patrick Dorgu, namun gol itu dibatalkan kerana ofsaid selepas semakan VAR.
Keputusan seri ini menyaksikan United kekal di tangga keenam liga pada 30 mata, manakala Wolves terus menghuni dasar liga dengan tiga mata daripada 19 perlawanan.


