
KUCHING – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat Sarawak dengan harapan agar tahun yang mendatang membawa ketenteraman, kemajuan dan kesejahteraan berterusan.
Dalam perutusannya, Tun Wan Junaidi menegaskan bahawa permulaan tahun baharu perlu dimanfaatkan sebagai ruang untuk memperkukuh iltizam serta memperkemas pelaksanaan dasar dan usaha yang telah dirancang agar setiap inisiatif dapat memberikan manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Beliau turut menekankan kepentingan semangat kebersamaan, sikap saling menghormati dan jalinan silaturahim sebagai asas kukuh kepada kestabilan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Menurut beliau, kejayaan pembangunan negeri bukan sahaja bergantung kepada perancangan dan pelaksanaan yang berkesan, malah memerlukan penyertaan serta komitmen semua lapisan masyarakat dalam memelihara perpaduan dan keharmonian sosial.
Sehubungan itu, rakyat diseru agar terus berganding bahu, saling menyokong dan mengekalkan nilai murni demi memastikan Sarawak kekal aman dan makmur.
TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah turut mendoakan agar seluruh rakyat Sarawak dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan hidup berkeluarga serta kejayaan dalam setiap ikhtiar yang diusahakan sepanjang tahun 2026.
Tahun baharu ini diharapkan menjadi landasan untuk bermuhasabah, menyemai kesyukuran dan melangkah ke hadapan dengan azam yang lebih utuh demi masa depan Sarawak dan generasi akan datang.





