
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka satu kertas siasatan berhubung penularan hantaran palsu di media sosial yang menyalahgunakan logo serta identiti visual Buletin TV3 bagi menyebarkan maklumat tidak benar berkaitan kononnya Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengeluarkan kenyataan mengenai penutupan TikTok Malaysia.
MCMC, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan siasatan awal mendapati kandungan berkenaan telah diubah suai dan disahkan sebagai palsu, selain menegaskan bahawa kenyataan itu tidak pernah dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi.
Menurut kenyataan sama, Media Prima Bhd turut membuat laporan polis dan menafikan bahawa hantaran berkenaan diterbitkan oleh Buletin TV3 atau mana-mana platform berita di bawah rangkaian syarikat itu.
MCMC menegaskan bahawa penggunaan logo, nama serta identiti visual Buletin TV3 berkenaan merupakan satu bentuk penyalahgunaan yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Seorang individu yang disyaki terbabit sudah dipanggil untuk membantu siasatan dan keterangannya dirakam oleh MCMC di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Perak,” menurut kenyataan itu.
MCMC turut menyita satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM bagi tujuan analisis forensik digital.
Selain itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum memuat naik, berkongsi atau mengulas di media sosial kerana penyebaran kandungan palsu serta penyalahgunaan identiti boleh membawa kepada tindakan undang-undang.



