Program ‘sandbox’ kawal selia media sosial bermula 1 Januari

KERAJAAN akan memulakan pelaksanaan program percubaan kawal selia atau sandbox terhadap platform media sosial bermula 1 Januari tahun depan sebagai langkah awal menilai tahap keselamatan pengguna serta keberkesanan perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan dengan penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama beberapa platform media sosial terpilih.

Fahmi berkata, pendekatan tersebut membolehkan kerajaan dan penyedia platform menilai kesiapsiagaan teknikal sedia ada di samping menguji mekanisme kawal selia secara berperingkat dalam keadaan terkawal.

Beliau menjelaskan bahawa sandbox merupakan satu rangka kerja ujian kawal selia yang lazim diguna pakai dalam sektor teknologi dan digital, yang membolehkan pihak berkepentingan mencuba kaedah, mekanisme atau teknologi baharu sebelum pelaksanaan secara menyeluruh.

Melalui kerangka itu, pihak pengawal selia dapat meneliti keberkesanan dasar yang dicadangkan, mengenal pasti potensi risiko serta menilai implikasi pelaksanaannya, manakala industri pula diberi peluang menyesuaikan sistem teknikal dan operasi mereka mengikut kehendak perundangan semasa.

“Pendekatan kita bukan semata-mata mengarahkan. Kita mengundang semua platform untuk berada di dalam satu ruang, yang dalam bidang teknologi disebut sebagai sandbox, bagi memadankan objektif kerajaan dengan keupayaan dan alat yang ada pada platform,” katanya memetik temu bual khas bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata tempoh percubaan itu dijangka berlangsung selama beberapa bulan bagi memastikan setiap langkah yang diperkenalkan berfungsi dengan baik dan tidak mudah dieksploitasi, khususnya dalam usaha mengurangkan risiko kepada kanak-kanak di alam maya.

Mengulas mengenai langkah Australia yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial, beliau berkata Malaysia tidak berhasrat untuk meniru pendekatan tersebut, sebaliknya memilih kaedah yang lebih bersesuaian dengan realiti tempatan.

Katanya, Malaysia lebih cenderung menggunakan mekanisme pengesahan umur (age verification) yang dicadangkan oleh pihak platform berbanding pendekatan jaminan umur (age assurance) seperti yang dilaksanakan di Australia, kerana ia lebih jelas dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan, selain mengambil kira aspek perlindungan privasi pengguna.

“Saya menerima surat daripada pengarah serantau Facebook yang menyatakan bahawa beliau sangat terbuka dan secara rasmi Facebook bersedia membantu melakukan pengesahan umur menggunakan dokumen yang dikeluarkan kerajaan.

“Jadi, idea itu bukan datang daripada saya sebenarnya, tetapi daripada Facebook … maka, saya mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada Dr Raphael Frankel (Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara) kerana memberikan idea ini kepada saya. Kami mungkin akan mengambil langkah sebegitu,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan program sandbox itu memberi peluang kepada kerajaan dan platform menilai keberkesanan mekanisme yang dicadangkan serta memperbaiki sebarang kelemahan sebelum diperluaskan kepada pengguna secara umum.

“Kalau satu cara tidak boleh, kita akan lihat pilihan lain. Yang penting, apabila dilaksanakan nanti, isu-isu yang timbul dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

Fahmi berkata Malaysia turut meneliti pengalaman negara lain termasuk Australia dan Denmark sebagai rujukan, namun penetapan dasar dan kaedah pelaksanaan akan disesuaikan sepenuhnya dengan keperluan serta konteks tempatan.

Related Posts

Kemalangan ragut lima nyawa: Siasat segera, bawa pelaku ke muka pengadilan

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menggesa siasatan berhubung kemalangan maut di Simpang Renggam, Johor yang meragut lima nyawa disegerakan supaya tindakan pendakwaan dapat diambil terhadap pihak yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Calon BN Johor akan dimuktamad selepas rundingan parti komponen – Zahid Hamidi

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) sedang meneliti senarai calon yang dikemukakan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum keputusan muktamad dibuat.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tiada undi tidak percaya, Shahidan serah kepada Pas Pusat

Tiada undi tidak percaya, Shahidan serah kepada Pas Pusat

Biodiesel B15 menyokong penjimatan bahan api negara, jangan ragu untuk gunakannya

Biodiesel B15 menyokong penjimatan bahan api negara, jangan ragu untuk gunakannya

Aminuddin sudah dapat restu Anwar bubar DUN Negeri Sembilan

Aminuddin sudah dapat restu Anwar bubar DUN Negeri Sembilan

Mayat bilal lemas ketika berenang di Sungai Pahang ditemukan

Mayat bilal lemas ketika berenang di Sungai Pahang ditemukan

Hasil pembangunan perlu segera dinikmati rakyat – Raja Perlis

Hasil pembangunan perlu segera dinikmati rakyat – Raja Perlis

Sidang media dibatalkan, Aminuddin ada urusan rasmi perlu didahulukan

Sidang media dibatalkan, Aminuddin ada urusan rasmi perlu didahulukan