Dr Taufiq, jangan jadi salinan pemimpin Kedah ‘juara janji’

TAHNIAH kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari, atas pelantikan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Namun dalam politik Kedah, ucapan tahniah tidak pernah lama nilainya kerana selepas sorakan, rakyat akan bertanya soalan yang lebih menakutkan iaitu apa kerja atau sumbangan kamu selepas ini?

Pelantikan Dr Taufiq digembar-gemburkan sebagai simbol kebangkitan anak muda.

Kononnya wajah baharu, pemikiran segar, dan nafas revolusi. Tetapi rakyat Kedah sudah kebal dengan naratif sebegini. Di negeri ini, yang muda belum tentu berani, yang pandai belum tentu bekerja.

Belum pun panas kerusi menteri, Dr Taufiq sudah tampil dengan pengumuman manis iaitu Kompleks Sukan di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.

Pengumuman yang sedap didengar, cantik ditulis, dan mudah ditepuk. Tetapi rakyat Kedah sudah lama belajar satu perkara iaitu pengumuman tidak semestinya membina negeri atau pelaksanaan yang membina.

Kedah bukan miskin idea, tetapi terlalu kaya dengan janji yang mati sebelum hidup. Sebelum ini pun kita ada pemimpin yang juara bercakap, juara menuding, juara berjanji bulan dan bintang. Hasilnya?

Negeri terus tertinggal, belia terus berhijrah, dan rakyat terus disuap alasan.

Sebab itu soalan sebenar kepada Dr Taufiq bukan tentang jumlah RM10 juta atau lokasi projek tetapi adakah beliau akan mengotakan janji, atau sekadar menambah satu lagi bab dalam kitab janji kosong Kedah?

Rakyat Kedah kini memerhati dengan mata terbuka, bukan lagi dengan telinga yang mudah dipukau. Mereka sudah muak dengan pemimpin yang pandai membaca teks, tetapi gagal menulis rekod kerja sendiri.

Jangan nanti Taufiq hanya menjadi versi muda kepada kepimpinan lama dan kuat di mikrofon, lemah di lapangan.

Perbandingan dengan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, adalah tidak dapat dielakkan.

Kedua-duanya petah bercakap, kedua-duanya tahu bermain emosi, dan kedua-duanya gemar menjual harapan.

Bezanya cuma satu soalan yang rakyat mahu jawapan jujur iaitu siapa antara dua ini benar-benar bekerja, bukan sekadar bercakap?

Rakyat Kedah tidak meminta stadium ala JDT atau projek gergasi untuk bermegah. Mereka cuma tidak mahu projek hantu itu dirasmikan dengan kain rentang, kemudian hilang tanpa khabar.

Negeri ini sudah terlalu banyak monumen kegagalan yang dulunya bermula dengan ayat, “akan dibina”.

Jika Dr Taufiq gagal, beliau bukan sahaja mengkhianati harapan belia, tetapi mengukuhkan tanggapan bahawa politik Kedah hanya melahirkan satu spesies pemimpin iaitu pandai berjanji dan lemah melaksana.

Namun jika beliau berjaya dan benar-benar berjaya iaitu mengotakan janji dan membawa hasil nyata, maka Dr Taufiq bukan sekadar menteri belia.

Beliau akan muncul sebagai ancaman politik sebenar kepada kepimpinan sedia ada di Kedah, termasuk kerusi Menteri Besar yang kini semakin rapuh keyakinannya.

Tetapi untuk sampai ke situ, Dr Taufiq perlu memilih iaitu menjadi pemimpin yang membina, atau pelakon politik yang hanya tahu skrip lama.

Anak muda hari ini tidak bodoh. Mereka boleh membezakan antara kerja dan lakonan. Mereka tidak lagi terpukau dengan slogan, jeritan atau maki hamun. Mereka mahu pemimpin yang beradab, berfikir dan bekerja iaitu bukan sekadar pandai memanaskan pentas.

Kedah sudah terlalu lama menjadi negeri eksperimen janji.

Rakyat sudah penat.
Dan kali ini, mereka tidak akan bersabar lama.

Buktikan dengan kerja, atau bersedialah untuk dinilai dengan lebih kejam daripada yang kamu sangka.

Related Posts

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

PUTRAJAYA – Tiada mana-mana individu berada di atas undang-undang dan setiap yang disabitkan kesalahan mesti menjalani hukuman mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada, tegas Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR – Harga arang batu yang melonjak kepada AS$148 satu tan pada 10 September meningkatkan tekanan terhadap kos penjanaan elektrik negara, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

Penjawat awam didakwa rancang ‘kehilangan’ Vellfire untuk tuntut insurans

Penjawat awam didakwa rancang ‘kehilangan’ Vellfire untuk tuntut insurans

Kepantasan bomba selamat 210 rumah daripada musnah dijilat api

  • By Fatin
  • September 18, 2026
Kepantasan bomba selamat 210 rumah daripada musnah dijilat api

Inisiatif Tamu Desa diharap diteruskan dalam Belanjawan 2027

  • By Fandi
  • September 18, 2026
Inisiatif Tamu Desa diharap diteruskan dalam Belanjawan 2027

300 pelajar ambil bahagian Program STEM Camp MOSTI

300 pelajar ambil bahagian Program STEM Camp MOSTI

Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah

Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah