Jelajah ‘Qurani’ buka ruang faham, hayati al-Quran

KUANTAN – Usaha kerajaan Pahang melancarkan siri jelajah khusus bagi pembentukan masyarakat ‘cinta dan mesra’ al-Quran adalah bukti jelas bahawa syiar Islam berkembang bebas di negeri ini.

Peserta yang mengikuti kuliah di Masjid Tepian Putra mengakui, siri jelajah berkenaan sangat membantu mereka dalam memahami dan menguasai ayat suci al-Quran dengan lebih mudah.

Zulkarnain Ramli berkata, cara penyampaian kuliah diadakan di situ sangat mesra dan membuatkan dia selesa.

“Secara tidak langsung, ia memudahkan kami memahami setiap perkara disampaikan penceramah,” katanya yang menetap di Taman Damansara Kuantan, kira-kira 30 kilometer (km) dari masjid berkenaan.

Ditanya kenapa dia sanggup memandu antara 20 hingga 30 minit untuk menghadiri kuliah di masjid itu, Zulkarnain menjelaskan dia mempunyai banyak masa terluang selepas pencen daripada perkhidmatan awam.

“Ini peluang untuk tebus semula masa yang saya ‘hilang’ ketika berkhidmat… dulu ada kekangan masa, jadi sekarang masa paling tepat.

“Semoga dalam ruang masa dan usia yang diberikan oleh Allah ini, saya dapat menggunakan sebaik mungkin,” katanya.

Dia turut memuji pendekatan pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Pekan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari dalam mengendali sesi kuliah di situ.

Katanya, cara penyampaian Ahmad Irshadi sangat santai, namun tegas dan jelas dalam memberikan pemahaman kepada peserta.

Sementara itu, Jamaliah Mohamed Shariff pula memberitahu, siri jelajah ‘Masyarakat Qurani Negeri Dirahmati’ diperkenalkan kerajaan Pahang adalah satu usaha terpuji dan perlu diteruskan.

Dia yang tinggal di Indera Mahkota 16, berpandangan kuliah seumpama itu perlu diperluaskan supaya lebih ramai warga emas menerima manfaat.

“Saya pun memang dah lama cari kuliah yang memfokuskan kepada pemahaman dan hafazan al-Quran.

“Terima kasih kepada kerajaan Pahang memperkenalkan inisiatif ini, sangat membantu saya yang dah pencen untuk mendalami surah yang terdapat dalam kitab suci al-Quran,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Irshadi menegaskan, usia tidak sepatutnya menjadi penghalang dalam mengejar ilmu dan semua individu memiliki peluang yang sama rata dalam bab mempelajari al-Quran.

“Kita mahu membina satu masyarakat yang sangat menghargai al-Quran dan isi kandungannya… dan seterusnya menjadikan ia sebagai satu cara hidup.

“Sudah tentu kejayaan siri jelajah ini bukan boleh diukur dengan pencapaian seorang dua individu semata-mata… ia adalah merangkumi segenap aspek dan paling utama adalah semua menerima manfaat,” jelasnya.

Siri jelajah ‘Masyarakat Qurani Negeri Dirahmati’ adalah cetusan idea Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan dilaksanakan secara berfasa, dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS).

Setiap peserta bakal menerima sijil dari UniPSAS selepas lengkap mengikuti kuliah menerusi siri jelajah itu.

Related Posts

Menteri Pengangkutan Sarawak santuni penduduk agih hadiah Hari Bapa

MIRI – Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin menyantuni penduduk setempat di Riam Mosjaya di sini bagi meraikan sambutan Hari Bapa, semalam. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Inspire i-Talent cungkil bakat 38 atlet sukan OKU di Mukah

MUKAH – Seramai 38 peserta dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) sekitar daerah ini diuji menerusi Program Inspire i-Talent Peringkat Bahagian Mukah 2026 bagi mencungkil bakat baharu atlet pelapis para…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Awang cuba ‘sekolahkan’ Mohd Sany, akhirnya isu bertumbuk makan diri

Awang cuba ‘sekolahkan’ Mohd Sany, akhirnya isu bertumbuk makan diri

Menteri Pengangkutan Sarawak santuni penduduk agih hadiah Hari Bapa

Menteri Pengangkutan Sarawak santuni penduduk agih hadiah Hari Bapa

Malaysia diiktiraf miliki rekod baik urus pelarian sejak dahulu – Pakar undang-undang

Malaysia diiktiraf miliki rekod baik urus pelarian sejak dahulu – Pakar undang-undang

Inspire i-Talent cungkil bakat 38 atlet sukan OKU di Mukah

Inspire i-Talent cungkil bakat 38 atlet sukan OKU di Mukah

Zumba Aerodance perkukuh semangat kebersamaan dan kebajikan

Zumba Aerodance perkukuh semangat kebersamaan dan kebajikan

Wanita ditangkap jual beras seludup

Wanita ditangkap jual beras seludup