MORGAN Rogers meledak dua gol menarik untuk menghadiahkan Aston Villa kemenangan 2-1 ke atas Manchester United di laman sendiri awal pagi tadi.
Ia adalah kemenangan ketujuh berturut-turut Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan kemenangan ke-10 berturut-turut dalam semua pertandingan.
Rogers membuka jaringan untuk pasukan tuan rumah dengan gerakan solo berkualiti tinggi pada minit ke-45, sebelum melepaskan rembatan lencong menewaskan penjaga gol Senne Lammens.
United berjaya menyamakan kedudukan sebelum rehat apabila Matty Cash kehilangan bola di bahagian kanan kawasan penalti Villa, membuka ruang untuk Matheus Cunha melepaskan rembatan deras melepasi Emiliano Martinez.
Namun kegembiraan United tidak bertahan lama apabila kapten Bruno Fernandes terpaksa dikeluarkan ketika rehat akibat kecederaan.
Walaupun United memulakan separuh masa kedua dengan lebih bertenaga, Rogers kembali mencuri tumpuan pada minit ke-57 menerusi satu lagi rembatan lencong melepasi Lammens.
Jaringan itu memastikan Villa mengakhiri tempoh Krismas di tangga ketiga liga pada 36 mata, 10 mata di depan United yang menghuni tangga ketujuh.






