
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah yang mengangkat Sambutan Krismas Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC) 2025 sebagai Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah dilihat mencerminkan keterbukaan dan komitmen kerajaan negeri dalam memartabatkan kepelbagaian agama dan budaya di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan itu menunjukkan kesungguhan Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam mengiktiraf serta menyokong sambutan perayaan keagamaan sebagai asas penting kepada keharmonian masyarakat majmuk Sabah.
“Penganjuran sambutan Krismas dengan konsep terbuka itu turut memberi impak ekonomi positif kepada rakyat, khususnya usahawan kecil dan para penjaja tempatan yang berpeluang menjana pendapatan melalui penyediaan makanan serta penglibatan dalam program Jamuan Rakyat.
“Sambutan seperti ini bukan sahaja menyemai nilai kasih sesama insan, malah membuka ruang kepada pemimpin dan rakyat untuk bersatu dalam merencana agenda kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta pembangunan infrastruktur selari dengan wawasan Sabah First,” katanya.
Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan itu berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Ewon turut menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus memupuk semangat kekitaan, kebersamaan, perpaduan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat selari tema Sambutan Krismas tahun ini iaitu ‘Pengharapan Damai Dalam Kasih’.
“Tema itu turut mencerminkan identiti rakyat Sabah yang sentiasa menjunjung nilai kasih sayang, saling menghormati serta menghargai anugerah ciptaan Tuhan, tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan sambutan Krismas peringkat negeri itu termasuk agensi kerajaan, rakan industri, komuniti gereja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan, pihak media serta para penaja.
“Saya percaya semangat kerjasama ini akan terus menjadi asas kukuh kepada kestabilan, kemakmuran dan keharmonian Sabah,” katanya.
Sambutan selama empat hari bermula Selasa yang sehingga Jumaat ini diisi dengan pelbagai pengisian kerohanian, kebudayaan dan kemasyarakatan.





