
PELANTIKAN barisan Kabinet baharu Kerajaan MADANI disifatkan sebagai cerminan visi dan hala tuju kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, justeru semua pihak diminta tidak mempertikaikan keputusan berkenaan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pelantikan anggota Jemaah Menteri merupakan hak prerogatif Perdana Menteri dan tertakluk sepenuhnya kepada pertimbangan serta budi bicara Perdana Menteri.
“Sesiapa yang Perdana Menteri rasa layak dan nak dilantik, maka beliau boleh buat demikian termasuk beliau boleh melantik bukan wakil rakyat untuk diangkat menjadi menteri.
“Menteri yang dilantik ini lambang ‘air muka’ dan visi Perdana Menteri. Jadi tidak perlu nak pertikaikan siapa yang PMX (Anwar) nak lantik sebab itu ‘baju’ PMX yang nak pakai untuk memimpin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Dr Akmal, prestasi menteri yang dilantik akan dinilai secara langsung oleh rakyat, termasuk kesannya terhadap sokongan dan kepercayaan kepada parti politik yang diwakili.
Beliau berkata, sekiranya menteri yang dilantik gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik atau tidak menunjukkan kualiti kepimpinan yang diharapkan, rakyat akan menghukum dengan tidak memberikan undi kepada parti politik menteri berkenaan.
Sebaliknya, katanya, menteri yang mampu menjalankan tugas dengan berkesan dan memenuhi keperluan rakyat akan menerima sokongan berterusan daripada pengundi.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua menteri yang baharu dilantik supaya tidak melupakan janji-janji yang pernah dibuat kepada rakyat, memandangkan rakyat kini semakin matang dan mampu menilai prestasi kepimpinan kerajaan.
“Tahniah sebab dilantik, tapi ini bukan masa untuk bersuka ria dan buat kenyataan bodoh yang boleh menyinggung perasaan dan sensitiviti rakyat. Ini masa untuk bekerja untuk rakyat.
“Negara ini ada undang-undang dan perlembagaan perlu dipatuhi, bukan bila jadi menteri semua kamu nak langgar. Jika tidak, pasti ini sepenggal kamu jadi menteri,” katanya.





