
KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag akan diadakan pada 24 Januari 2026.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Datuk Harun berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas SPR pada Selasa susulan kekosongan luar jangka pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Tarikh-tarikh penting PRK telah ditetapkan dengan Hari Penamaan Calon pada 10 Januari manakala pengundian awal pada 20 Januari.
“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon pada 10 Januari sehingga jam 11.59 malam, 23 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Selasa.
SPR turut memaklumkan urusan permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi semua kategori dibuka bermula Selasa (16 Dis).
Dalam pada itu, bagi memastikan kelancaran PRK, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang dibantu oleh lapan Penolong Pegawai Pengurus, selain menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta wakil calon bertanding.
Dewan Sri Lamag, Kinabatangan akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) bagi kedua-dua PRK tersebut.
Sebanyak 1,106 petugas pilihan raya akan digerakkan, melibatkan 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran, serta satu pusat mengundi awal dengan satu saluran khas.
SPR menganggarkan kos keseluruhan pelaksanaan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mencecah RM10 juta.
Dari segi pengundi, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan ialah daftar terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Oktober 2025, dikemas kini sehingga 5 Disember lalu, melibatkan 48,722 pemilih, terdiri daripada 48,526 pengundi biasa dan 196 anggota polis. DPPR berkenaan akan mula dijual pada 5 Januari 2026.
SPR turut menasihatkan bakal calon supaya membuat semakan awal borang penamaan calon serta pembayaran deposit lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah pada Hari Penamaan Calon.
“Namun, kertas penamaan yang lengkap tetap perlu dikemukakan secara rasmi di PPC pada hari berkenaan.
“Dalam usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi, SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran termasuk media elektronik, media sosial, siar raya serta pemasangan kain rentang di lokasi strategik,” katanya.





