
PEMERHATI politik, Raggie Jessy Rithaudeen berpandangan, pendekatan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang kembali mengkritik isu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mencerminkan naratif politik yang setaraf pembangkang dan bercanggah dengan pendirian beliau sebelum ini.
Raggie berkata, Rafizi mempertikai kredibiliti kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memerangi rasuah dengan mengaitkannya kepada keputusan mengekalkan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, walaupun isu berkenaan berpunca daripada pentadbiran terdahulu.
“Isu Azam Baki bukan perkara baharu dan berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Beliau dilantik semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukan di bawah kerajaan Pakatan Harapan,” katanya menerusi satu siaran langsung di Facebook.
Beliau berkata, kontroversi berkaitan dakwaan pemilikan saham menggunakan akaun Azam Baki juga berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, namun tiada siasatan bebas atau tindakan tegas diambil oleh kerajaan ketika itu.
“Pentadbiran Muhyiddin dan seterusnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mengambil langkah sewajarnya untuk mewujudkan siasatan bebas. Justeru, tidak adil untuk meletakkan sepenuhnya beban isu ini kepada kerajaan semasa,” katanya.

Mengulas pendirian Rafizi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Raggie mengingatkan bahawa Rafizi antara tokoh yang lantang berjanji akan mengambil tindakan terhadap Azam Baki sekiranya Pakatan Harapan membentuk kerajaan.
“Namun selepas membentuk kerajaan dan memegang jawatan menteri, isu itu senyap. Malah Rafizi sendiri mengakui kenyataan tersebut sekadar ‘newsbait’ atau gimik kempen untuk menarik perhatian pengundi,” katanya.
Menurut beliau, pengakuan itu menimbulkan persoalan terhadap konsistensi dan prinsip politik Rafizi, lebih-lebih lagi apabila beliau kini kembali mengkritik kerajaan berhubung isu sama.
“Apa yang terhakis bukan kredibiliti kerajaan, tetapi kredibiliti Rafizi sendiri. Beliau mengkritik isu yang pernah dijadikan bahan kempen, kemudian ditinggalkan, dan kini dibangkitkan semula selepas tewas dalam pemilihan PKR,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kekalahan Rafizi dalam pemilihan PKR sebagai penolakan jelas ahli parti terhadap kepimpinannya, bukan disebabkan manipulasi sistem seperti yang didakwa.
“Perbezaan undi yang besar menunjukkan Rafizi kehilangan sokongan akibat tindakannya sendiri. Kritikan berterusan terhadap kerajaan selepas itu dilihat lebih sebagai luahan kekecewaan politik,” katanya.
Raggie menegaskan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar masih mempunyai mandat untuk meneruskan agenda reformasi secara berperingkat, termasuk menangani isu fitnah dan kestabilan politik yang tidak diberi keutamaan oleh kerajaan terdahulu.
“Jika benar mahu memperjuangkan keadilan dan integriti, konsistensi adalah asas utama. Tanpa itu, kritikan hanya akan dilihat sebagai retorik politik semata-mata,” katanya.







