
LINGGA – Regatta Lingga 2025 merupakan penganjuran acara sukan air yang terakhir bagi tahun ini di Sarawak dengan menampilkan acara kemuncak eksklusif iaitu ‘Battle of Titans’.
Penaung Regatta Lingga 2025, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, acara ini adalah di mana raja-raja sungai di seluruh negeri ini dihimpunkan bagi berentap merebut gelaran King of Titans dan wang tunai bernilai RM30,000.
“Acara berprestij ini bakal menyaksikan pertembungan raja-raja sungai yang melambangkan keberanian dan kekuatan pasukan masing-masing, sekaligus menjadi antara tarikan utama peminat sukan air.
“Kita mempertaruhkan acara eksklusif yang hanya terdapat di satu-satunya regatta di Sarawak iaitu Battle of Titan: Raja Melawan Raja. Regatta yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua masyarakat terutama peminat sukan air,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Regatta Lingga 2025, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga itu menambah, penganjuran kali ini turut menawarkan hadiah lumayan dengan Raja Sungai Lingga akan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta piala.
“Selain perlumbaan perahu, Regatta Lingga 2025 dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk Funwalk, Battle of the Band, Miss Regatta Lingga, pertandingan memancing, Jualan Rahmah serta pameran pembangunan dan jualan komuniti,” ujarnya.
Pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan tiket bertuah dengan hadiah menarik termasuk sebuah motosikal sebagai hadiah utama.
Untuk rekod, lebih membanggakan, regatta kali ini menerima penyertaan kali kedua pasukan dari Brunei Darussalam, secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Regatta Lingga sebagai platform sukan tradisi bertaraf antarabangsa dan pemangkin pelancongan serta ekonomi setempat.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







