
LIMBANG — Expo Viral Bersama Selebriti Tahun 2025 yang berlangsung dari 12 hingga 14 Disember ini di Dewan Serbaguna Batu Biah, di sini, disasarkan menarik seramai 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, penganjuran expo berkenaan menjadi platform penting dalam mempromosikan produk tempatan Limbang ke pasaran luar.
Menurut beliau, program julung kali dianjurkan itu merupakan hasil kolaborasi antara Pesta Ria Limbang dan Juwita Healthy, sekali gus membuka peluang kepada usahawan tempatan serta luar daerah memperkenalkan produk masing-masing kepada pengunjung.
“Sebanyak 18 vendor utama terdiri daripada artis dan selebriti terkenal seperti Jasmine Hamid, Dyas Mokhtar, Salina Saibi dan Noraniza Idris terlibat menjual produk mereka, selain persembahan artis popular termasuk Kumpulan UKAYS,” katanya ketika berucap merasmikan Expo Viral Limbang 2025 pada Sabtu.
Beliau berkata, expo berkenaan turut disertai 58 vendor makanan bukan sahaja dari Limbang, malah dari luar kawasan termasuk Miri, Kuching, Sabah, Labuan dan Brunei.
Dalam pada itu, Abdul Rahman menyifatkan Limbang sebagai sebuah daerah yang unik dan mampu memberikan pengalaman baharu kepada para selebriti yang pertama kali berkunjung ke kawasan tersebut.
“Para artis berpeluang menikmati buah-buahan tempatan seperti durian, dabai, tarap dan pelbagai lagi memandangkan Limbang kini berada dalam musim buah,” katanya.
Mengulas pembangunan daerah, beliau berkata Limbang dijangka menikmati perubahan besar apabila projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) dan Northern Coastal Highway (NCH) siap sepenuhnya menjelang tahun 2030.
“Dengan kemudahan jalan raya yang lebih baik, Limbang tidak lagi ketinggalan dalam arus pembangunan, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk dan pelancong,” ujarnya.
Beliau turut berharap produk berpotensi dari Limbang dapat menembusi pasaran antarabangsa memandangkan kepelbagaian hasil dan produk yang diusahakan oleh masyarakat berbilang kaum di daerah itu.
Selain itu, Limbang turut dikenali sebagai daerah yang aktif menganjurkan pelbagai acara sepanjang tahun seperti Pertandingan Tarik Tali Antarabangsa, Pesta Ria Limbang, perlumbaan bot laju serta sambutan perayaan mengikut kaum.
Pada majlis sama, beliau merakamkan penghargaan kepada komuniti setempat dan agensi terlibat atas komitmen menjayakan Expo Viral Limbang 2025 serta mengalu-alukan kehadiran para selebriti ke daerah berkenaan.
Majlis perasmian turut dihadiri Wali Kota Majlis Daerah Limbang, Kr Sufian Mohat; Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot; Wakil Setiausaha Majlis Daerah Limbang, Diana Essa serta Pengasas Juwita Healthy, Linda Juwita Jumardi.
Selesai majlis perasmian, Abdul Rahman turut meluangkan masa melawat gerai pameran dan jualan yang disediakan di Dewan Suarah Limbang.




