
SIPITANG – Sabah melangkah satu fasa baharu dalam pembangunan industrinya apabila Fasiliti Pengurusan Sisa Terjadual pertama negeri ini dibangunkan di Sabah Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), dengan pelaburan keseluruhan melebihi RM1 bilion.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, projek itu akan memperkukuh ekosistem industri negeri selain menjana peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.
“Fasiliti yang dibangunkan oleh E-Concern (Borneo) Sdn. Bhd. itu merupakan komponen kritikal dalam menyokong pertumbuhan sektor pembuatan dan perindustrian Sabah, khususnya dari aspek kos, logistik dan pematuhan alam sekitar.
“Pelaburan ini akan mengurangkan kebergantungan industri kepada fasiliti luar Sabah, sekali gus menurunkan kos logistik dan meningkatkan daya saing pelabur di negeri ini,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, fasiliti itu turut dijangka menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan industri utama seperti SOGIP, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dan Palm Oil Industrial Cluster (POIC), selain mengurangkan risiko pencemaran melalui pengurusan sisa yang lebih sistematik dan selamat.
Ewon berkata, projek tersebut diunjurkan mewujudkan kira-kira 270 peluang pekerjaan semasa operasi penuh, dengan keutamaan diberikan kepada anak-anak Sabah.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya komited memperkukuh ekosistem pelaburan negeri selaras aspirasi Sabah Maju Jaya, termasuk memperkasa penyertaan usahawan tempatan dalam rantaian bekalan industri serta memantapkan keupayaan logistik dan pengangkutan.
Mengulas prestasi pelaburan, Ewon berkata, data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan sektor pembuatan di Sabah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM24.98 bilion dalam tempoh September 2020 hingga September 2025.
“Daripada jumlah itu, RM19.55 bilion adalah pelaburan asing manakala RM5.43 bilion pelaburan domestik, melibatkan 91 projek dan mewujudkan lebih 8,000 peluang pekerjaan,” katanya.
Menurut beliau, kemasukan pelaburan besar oleh syarikat seperti Esteel Enterprise Sabah, Petronas dan E-Concern mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi dan hala tuju pembangunan industri Sabah.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Thomas Logijin; Pengarah Urusan SOGDC, Mohd Azmir Datuk Ramli dan Pengarah E-Concern (Borneo) Sdn. Bhd., Tang Siong Hee.




