
KUCHING – Sebahagian premis di tingkat satu pasar raya Mydin Vista Tunku musnah dalam kebakaran yang berlaku sekitar 11.39 pagi pada Khamis.
Menurut jurucakap Pusat Operasi Bomba, operasi pemadaman diketuai Komander Operasi, PBT II Karim Mohamad.
Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya tiba pada 11.56 pagi sebelum pasukan bantuan daripada BBP Padungan, BBP Tabuan Jaya, BBP Batu Lintang serta Bahagian Kejuruteraan digerakkan ke lokasi.
Pegawai kanan JBPM Sarawak dan Unit Dron turut dikerahkan bagi membantu pemantauan.
“Kebakaran bermula di premis Lea Sport Centre dan mengakibatkan sebahagian kedai musnah, manakala beberapa unit lain berdekatan terjejas akibat asap tebal dan air pemadaman. Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengekang api daripada merebak,” menurut kenyataan itu.
Pengawal keselamatan turut melaksanakan proses pengungsian bangunan dengan memastikan semua pekerja dan pelanggan berada di kawasan selamat.
Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan dalam insiden tersebut.
Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada 12.54 tengah hari sebelum kerja-kerja overhaul dijalankan bagi memastikan tiada punca api yang masih wujud.
Seramai 35 anggota terlibat dalam operasi itu dengan penggunaan empat jentera FRT, satu CFRT, satu EMRS dan satu ALP, manakala polis turut membantu kawalan keselamatan di kawasan kejadian.



