Sukan SEA Thailand 2025 buka tirai

TIRAI temasya sukan paling berprestij Asia Tenggara, Sukan SEA Thailand 2025 dibuka secara rasmi dalam acara penuh gilang gemilang di Stadium Nasional Rajamangala, malam tadi.

Ini adalah kali ketujuh Thailand tampil sebagai penganjur sukan temasya dwitahunan itu, sejak ia mula diadakan pada 1959 dengan nama temasya Sukan SEAP.

Kontinjen negara tampil penuh bergaya dengan 59 anggota menyertai perarakan yang menjadi tumpuan ribuan penonton, lapor Berita Harian.

Mendahului barisan ialah dua atlet negara yang menjadi kebanggaan iaitu jaguh lompat kijang negara, Andre Anura Anuar dan atlet ski air, Aaliyah Yoong Hanifah selaku pembawa Jalur Gemilang.

Mereka diiringi ketua kontinjen, Nurul Huda Abdullah, bersama tiga timbalan, Datuk Kenny Goh, Nazmizan Muhammad dan Jivan Mohan.

Turut sama berarak ialah atlet sukan olahraga, ski air, luncur ais dan hoki ais, selain pegawai sekretariat daripada Majlis Olimpik Negara, Institut Sukan Negara dan Majlis Sukan Negara, menambahkan lagi warna pada malam penuh simbolik itu.

Namun tumpuan utama pada perarakan kali ini jelas terarah kepada rekaan batik kontemporari menghiasi atlet negara, satu identiti baharu yang memancarkan keyakinan dan karakter Malaysia di pentas antarabangsa.

Asas warna putih pada busana rasmi itu membawa makna kesucian niat, disiplin serta fokus atlet negara setiap kali mereka melangkah ke gelanggang.

Di bahagian bawah dan sisi baju, corak organik dalam tona biru pekat menggambarkan aliran tenaga, keteguhan mental dan fizikal, serta perjalanan dinamik seorang atlet menuju kecemerlangan.

Ia diinspirasikan daripada elemen alam iaitu ombak, alur kayu dan arus – simbol kekuatan serta daya tahan bangsa.

Sempadan kuning yang mengikat motif biru itu pula memberi isyarat kepada cahaya harapan dan aspirasi negara, seakan garis haluan yang memandu atlet menuju podium.

Sentuhan merah pada perincian kecil memberi elemen keberanian dan semangat juang, warna yang sinonim dengan hati waja kontinjen Malaysia.

Di bahagian lengan, jalur merah yang tersusun menyerlahkan identiti kebangsaan dengan gaya minimalis moden.

Ia mengingatkan jalur bendera Malaysia, tetapi direka lebih abstrak untuk kekal sofistikated dan sesuai sebagai pakaian rasmi bertaraf antarabangsa.

Secara keseluruhannya, batik berkenaan bukan sekadar pakaian, sebaliknya ia adalah naratif visual mengenai siapa kita iaitu negara yang kaya tradisi, progresif dalam pemikiran, dan sentiasa melangkah ke hadapan dengan keyakinan.

Pada edisi kali ini, kontinjen negara membabitkan 1,655 anggota merangkumi 1,140 atlet dan 515 pegawai, disasarkan memburu 200 pingat tanpa mengira warna.

Atlet negara turun beraksi dalam 50 jenis sukan membabitkan 459 acara, merangkumi disiplin Olimpik sehingga ke pelbagai acara tradisional rantau ini.

Related Posts

Anwar rakam tahniah buat Aliff Rakib

DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada petarung muay thai negara Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau lebih dikenali sebagai Aliff Rakib atas kejayaan melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Klopp rasmi pengendali baharu Jerman

JURGEN Klopp secara rasmi dilantik pengendali baharu Jerman dengan bekas pengendali Liverpool itu diberi tanggungjawab besar untuk mengembalikan kegemilangan gergasi bola sepak Eropah berkenaan. Pengumuman pelantikan itu dibuat Persekutuan Bola…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar rakam tahniah buat Aliff Rakib

Anwar rakam tahniah buat Aliff Rakib

RCI TH tepat pada masanya, bukan ‘gula-gula politik’ PRN Negeri Sembilan

RCI TH tepat pada masanya, bukan ‘gula-gula politik’ PRN Negeri Sembilan

BN pertaruh manifesto berteraskan sembilan fokus utama

BN pertaruh manifesto berteraskan sembilan fokus utama

Kerjasama BN-PN ibarat Titanic, tunggu masa karam – Hannah Yeoh

Kerjasama BN-PN ibarat Titanic, tunggu masa karam – Hannah Yeoh

45 asnaf sekitar Mukah terima sumbangan Saberkas Prihatin

45 asnaf sekitar Mukah terima sumbangan Saberkas Prihatin

Tender semula BELB RM30 juta, jamin bekalan elektrik stabil – Andi Suryady

Tender semula BELB RM30 juta, jamin bekalan elektrik stabil – Andi Suryady