
LIMBANG – Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah menzahirkan ucapan tahniah kepada jawatankuasa pelaksana atas kejayaan menganjurkan Tamu Medamit sejak lebih 10 tahun lalu, sekali gus menjadikannya acara penting dalam komuniti setempat.
Dalam ucapannya pada Majlis Penangguhan Bazar Gawai Krismas Tamu Medamit 2025 pada Sabtu, Hasbi menekankan betapa bertuahnya rakyat Sarawak dan Malaysia amnya yang hidup dalam suasana aman serta penuh hormat antara pelbagai kaum dan agama.
Beliau mengingatkan bahawa perpaduan yang dikecapi hari ini bukan sesuatu yang terbina dalam sekelip mata, sebaliknya hasil warisan nenek moyang yang perlu dipertahan oleh generasi baharu.
“Jangan sesekali generasi baharu menjadi sejarah merosakkan perpaduan ini.
“Ia adalah warisan paling berharga kerana jika ia nya tidak dijaga dengan baik akan mendatangkan binasa kepada negara,” tegasnya.
Hasbi turut menyeru masyarakat supaya lebih proaktif melaporkan sebarang masalah di kawasan masing-masing kepada pihak berkuasa, termasuk isu bekalan air di Sekolah Menengah Medamit yang menurut beliau masih belum dilaporkan kepada pihak berkaitan.
Katanya, pihak berkuasa tidak dapat mengambil tindakan jika tiada laporan diterima, dan tindakan pantas hanya dapat dilakukan apabila maklumat lengkap disalurkan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan ilmu pengetahuan sebagai landasan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
“Tanpa ilmu, kita sukar memajukan diri, masyarakat mahupun agama. Kejayaan ramai individu bermula daripada ilmu yang mereka miliki,” ujarnya.
Mengulas tentang penganjuran bazar berkenaan, Hasbi berkata, ia bukan sekadar tempat membeli-belah, bahkan menjadi platform penting menjana pendapatan untuk peniaga kecil, mengembangkan perniagaan dan memperkukuh perpaduan masyarakat.
Beliau menyifatkan Bazar Gawai Krismas sebagai ruang yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum, selaras dengan keunikan Limbang dan Sarawak yang sentiasa meraikan kepelbagaian.
Komitmen Terus Kepada Rakyat Medamit.
Sebagai wakil rakyat kawasan tersebut, Hasbi memberi jaminan akan terus memperjuangkan keperluan penduduk di peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan katanya, komited meningkatkan kemudahan asas, memperkukuh peluang ekonomi, dan menyokong program berteraskan komuniti serta keusahawanan.
Hasbi turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan, kesihatan, teknikal dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan majlis berkenaan.
Beliau berharap Bazar Gawai Krismas dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang lebih besar pada masa akan datang.
“Sambutan Gawai dan Krismas yang diraikan bersama adalah bukti keharmonian kita. Semoga semangat ini terus subur dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Hadir sama, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal; Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Suffian Mohat dan Pengerusi Bazar Krismas, Kr Daniel Taha.







