
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag, yang kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.
Dalam hantaran di platform X, Perdana Menteri menyifatkan Allahyarham sebagai sahabat lama dan tokoh politik yang tegas serta lantang memperjuangkan hak rakyat.
“Sebagai seorang sahabat lama, saya mengenang Allahyarham sebagai tokoh yang tegas, berpendirian dan lantang dalam memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau turut menghargai jasa dan komitmen Allahyarham dalam arena politik tanah air, khususnya terhadap rakyat Sabah.
“Jasa serta komitmen beliau terhadap rakyat Sabah dan negara akan terus dihargai dan terpahat dalam ingatan,” katanya lagi.
Perdana Menteri turut mendoakan agar keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan menghadapi ujian tersebut.
“Semoga roh Allahyarham diampunkan segala dosanya serta ditempatkan pada kedudukan yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” katanya.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan anaknya, Naim Kurniawan Moktar menerusi hantaran di Facebook awal pagi tadi.
Malam sebelumnya, Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman turut melawat Bung Moktar ketika beliau menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Allahyarham yang dilahirkan pada 14 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, merupakan antara tokoh berpengaruh dalam BN Sabah.
Beliau mula menceburi dunia politik pada 1999 selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, jawatan yang disandangnya lebih dua dekad sehingga kini.
Sebelum bergiat dalam politik, beliau berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Sandakan dari 1987 hingga 1990, sebelum berkhidmat di Majlis Amanah Rakyat (MARA) antara 1990 hingga 1992.
Pada 2020, beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya negeri dari 2020 hingga 2023.
Allahyarham turut pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi FELCRA Berhad dari 2013 hingga 2018. Pada PRN Sabah Ke-17 yang berakhir Sabtu lalu, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi DUN Lamag.







