
KOTA KINABALU – Pelakon, Shaheizy Sam, yang juga adik ipar Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan Alahyarham memiliki keperibadian berbeza daripada imejnya di pentas politik.
Beliau berkata, kehilangan Bung amat besar buat keluarga memandangkan Allahyarham dilihat sebagai seorang abang ipar yang sempurna.
“Apa yang kita nampak di Parlimen itu bukan dia di rumah.
“Di Parlimen dia agresif, pumpang-pumpang, tapi di rumah dia sangat lembut. Nak dengar dia tinggi suara pun tak pernah,” katanya kepada media di pekarangan Masjid Bandaraya Likas, pada Jumaat.
Menurut Sam, sepanjang hayatnya sebagai pemimpin, Allahyarham tidak pernah menolak permintaan penduduk kawasan setiap kali pulang ke Sabah selain turut mengimbau hari terakhir kempen PRN Sabah baru-baru ini.
“Kalau balik kawasan, memang ramai datang jumpa dia. Sampai jam 4 pagi pun dia layan. Dia rasa itu tanggungjawab.
“Semalam siang kami dapat tahu arwah dalam keadaan yang sangat teruk. Pagi tadi dapat tahu arwah meninggal dan kakak saya yang beritahu.
“Tanda -tanda tidak sihat Arwah memang nampak. Dia kurang tenaga, cepat penat. Dari situ sudah nampak perubahan dan sudah kelihatan sejak kempen PRN baru-baru ini,” ujarnya.
Sam berkata, pesanan Allahyarham mengenai peranan menjaga ibu menjadi antara nasihat paling bermakna yang masih dipegangnya hingga kini.
“Apa-apa hal pun, dia selalu ingatkan nak berjaya, jaga mak. Itu yang saya pegang sampai sekarang,” katanya.



