SPRM nafikan dakwaan LFL, tegaskan notis kepada peguam ikut prosedur statutori

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa notis yang dikeluarkan kepada peguam Mahajoth Singh dalam siasatan membabitkan ahli perniagaan, Albert Tei, adalah selaras dengan kuasa statutori yang diperuntukkan undang-undang, sekali gus menolak dakwaan Lawyers for Liberty (LFL) bahawa tindakan itu berunsur intimidasi.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, notis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009 yang memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk menghendaki mana-mana individu hadir serta mengemukakan dokumen atau rakaman yang diperlukan bagi membantu siasatan.

Katanya, undang-undang tidak memberikan pengecualian kepada mana-mana pengamal undang-undang, dan dakwaan yang menyatakan sebaliknya adalah tidak berasas dari sudut perundangan.

“Memandangkan peguam mewakili suspek mempunyai bahan bukti (exhibits) berkaitan siasatan, beliau mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengemukakannya apabila dikehendaki mengikut Seksyen 30(3) Akta SPRM 2009.

“Keingkaran berbuat demikian boleh dianggap sebagai menghalang penjawat awam menjalankan siasatan, iaitu satu kesalahan di sisi undang-undang,” katanya.

Terdahulu, LFL mendakwa SPRM bertindak di luar undang-undang apabila memanggil peguam kepada pemberi maklumat, Albert Tei, untuk disoal siasat berhubung siasatan skandal membabitkan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Pengarah LFL, Zaid Malek, mendakwa Mahajoth menerima notis pada kira-kira jam 9.50 malam yang mengarahkannya hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi memberi keterangan dalam siasatan membabitkan kliennya sendiri.

Mengulas lanjut, SPRM menjelaskan bahawa keistimewaan komunikasi antara peguam dan anak guam hanya melindungi nasihat undang-undang yang sulit.

Namun, ia tidak mengecualikan kewajipan peguam untuk hadir di hadapan pegawai penyiasat atau daripada mengemukakan bahan serta dokumen yang tidak berkaitan dengan nasihat undang-undang, selain tidak boleh menghalang siasatan sekiranya peguam terbabit merupakan saksi material.

“Oleh itu, dakwaan intimidasi adalah tidak berasas. Notis terbabit adalah proses statutori biasa dan sama sekali tidak menjejaskan kemampuan peguam untuk mewakili anak guamnya.

“Memanggil individu yang mempunyai maklumat relevan adalah prosedur siasatan standard.

“Selain itu, sebarang sekatan sementara terhadap akses kepada tahanan adalah tertakluk kepada Seksyen 28(A)8 Kanun Tatacara Jenayah dan keperluan operasi bagi melindungi integriti siasatan. Ini selaras dengan undang-undang dan tidak luar biasa dalam kes yang sensitif,” katanya.

SPRM turut menegaskan bahawa tindakan memutarbelitkan prosedur sah sebagai ‘tindakan tanpa undang-undang’ adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan orang awam.

“SPRM akan terus melaksanakan peranan dan tugasnya secara berkecuali, profesional dan dalam ruang lingkup undang-undang sepenuhnya,” katanya.

Related Posts

Jentera kempen PN kurang menyengat tidak seperti PH, BN bersemangat

BATU PAHAT – Pakatan Harapan (PH) dilihat memulakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan momentum paling positif apabila berjaya menghimpunkan kehadiran penyokong yang ramai pada hari penamaan calon. Suasan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pemansuhan caj RM1 di bank ringan beban kewangan, lancar aliran tunai harian

TAWAU – Pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran automatik (ATM) dan mesin kitar semula pintar (SRM) yang berkuat kuasa hari ini dilihat mampu meringankan beban…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

CUEPACS Sarawak sokong langkah KPDN batal had jualan diesel demi kesejahteraan guru

CUEPACS Sarawak sokong langkah KPDN batal had jualan diesel demi kesejahteraan guru

Kerjasama MITA perkukuh potensi Miri sebagai hab edupelancongan

Kerjasama MITA perkukuh potensi Miri sebagai hab edupelancongan

Tiga tekad jadi panduan Rozy bawa perubahan di Buloh Kasap

Tiga tekad jadi panduan Rozy bawa perubahan di Buloh Kasap

Gagal kemuka dokumen pelepasan, kapal tunda ditahan di Perairan Miri

Gagal kemuka dokumen pelepasan, kapal tunda ditahan di Perairan Miri

Maxim Malaysia jayakan Silent Run 5.0 bina jambatan perpaduan komuniti

Maxim Malaysia jayakan Silent Run 5.0 bina jambatan perpaduan komuniti

PDRM Sarawak, PPDB perkasa kerjasama berkas penjenayah rentas sempadan

PDRM Sarawak, PPDB perkasa kerjasama berkas penjenayah rentas sempadan