Jumlah korban kebakaran kompleks kediaman bertingkat cecah 75 orang

HONG KONG – Angka korban akibat kebakaran besar di kompleks kediaman bertingkat di sini, meningkat kepada 75 orang, dengan kira-kira 70 yang lain cedera dan sekitar 200 lagi masih belum dapat dikesan, menurut pihak berkuasa tempatan pada Khamis, lapor Kyodo News.

Tiga lelaki ditahan kerana disyaki menyebabkan kematian tanpa niat berkaitan kebakaran yang berlaku di daerah Tai Po di utara bandar itu pada petang Rabu.

Kebakaran itu dengan cepat meliputi tujuh daripada lapan menara di kompleks perumahan Wang Fuk Court.

Seorang anggota bomba adalah antara yang maut, menurut Jabatan Perkhidmatan Bomba tempatan.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee berkata, kebakaran di semua tujuh menara ‘pada dasarnya berjaya dikawal’ walaupun api masih kelihatan di lokasi kejadian.

Dalam sidang medianya, Lee berkata kerajaan akan mengagihkan HK$10,000 (AS$1,285) kepada setiap isi rumah yang terjejas.

Beliau berkata, pihak berkuasa akan memperuntukkan HK$300 juta (AS$38.5 juta) bagi bantuan bencana, manakala semua acara perayaan yang dijadualkan akan dibatalkan atau ditangguhkan.

Pegawai kerajaan juga akan mengelakkan penyertaan dalam acara awam yang ‘tidak perlu’, katanya.

Kompleks itu, yang melebihi 30 tingkat dan menempatkan kira-kira 2,000 pangsapuri serta 4,000 penduduk, ditutup dengan perancah buluh dan jaring perlindungan hijau bagi kerja-kerja pengubahsuaian dinding luar bangunan.

Sekitar 40 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas.

Kementerian Luar Indonesia mengesahkan sekurang-kurangnya dua pekerja domestik warga Indonesia maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian itu, dengan kumpulan hak pekerja migran menyatakan sehingga 200 pembantu rumah migran mungkin turut terjejas.

Punca kebakaran masih belum dikenal pasti, namun Jabatan Bomba Hong Kong percaya jaring perlindungan dan ‘papan buih’ yang digunakan dalam kerja pengubahsuaian mungkin telah mempercepatkan kebakaran itu merebak ketika angin kencang.

Polis Hong Kong pada Khamis pagi menyerbu pejabat syarikat yang menjalankan kerja pengubahsuaian itu, mengesyaki bahawa ‘kecuaian serius’ sehingga menyebabkan kebakaran merebak di luar kawalan.

Tiga lelaki yang ditahan adalah pengarah syarikat dan seorang perunding.

Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong memaklumkan bahawa ia akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah berkaitan projek pengubahsuaian itu.

Di Tokyo, Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, menyampaikan ‘ucapan takziah tulus ikhlas’ kepada mangsa kebakaran, sambil menyatakan beliau ‘amat dukacita’ apabila mengetahui insiden itu mengakibatkan kehilangan banyak nyawa.

Related Posts

Anwar bincang konflik Gaza, ketegangan di Asia Barat dengan pemimpin BRICS

NEW DELHI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan di sela-sela majlis makan malam bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 untuk berbincang dengan beberapa pemimpin dunia mengenai…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

NEW DELHI – Malaysia menyeru semua pihak yang terbabit dalam konflik di Asia Barat supaya menghentikan peningkatan ketegangan dan kembali menggunakan saluran diplomasi bagi mencari penyelesaian, kata Perdana Menteri, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Polis tingkat kawalan keselamatan susulan kemelut Negeri Sembilan

Polis tingkat kawalan keselamatan susulan kemelut Negeri Sembilan

Generasi muda perlu hayati sejarah, pertahan kemerdekaan

Generasi muda perlu hayati sejarah, pertahan kemerdekaan

Penerbangan percubaan sulung catat sejarah, Bebuling STOLport sedia pacu ekonomi Betong

Penerbangan percubaan sulung catat sejarah, Bebuling STOLport sedia pacu ekonomi Betong

Pemilikan rumah komitmen jangka panjang, bukan sekadar aset – Adam Yii

Pemilikan rumah komitmen jangka panjang, bukan sekadar aset – Adam Yii

Disangka haiwan buruan, lelaki maut ditembak rakan sendiri

Disangka haiwan buruan, lelaki maut ditembak rakan sendiri

Bantuan peralatan Sejahtera MADANI RM180,000 perkasa 36 graduan vokasional, penerima eKasih

Bantuan peralatan Sejahtera MADANI RM180,000 perkasa 36 graduan vokasional, penerima eKasih