
PUTATAN – Persiapan calon parti Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Firdaus Diun dilihat menimbulkan tidak puas hati dalam kalangan jentera akar umbi yang lebih menjaga imej peribadi berbanding bekerja untuk rakyat.
Sumber dalaman Warisan memaklumkan, Firdaus dilihat gemar ‘menyadokan diri’ dan memberi keutamaan kepada penampilan fizikal seolah-olah mahu kelihatan tegap ketika bersidang di DUN Sabah, bukannya memperkukuhkan gerak kerja politik di kawasan sendiri.
Menurut beliau, tindakan itu membuktikan sebagai langkah ‘tangkap muat’ yang hanya menonjolkan kekeliruan strategi parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
“Kami hairan, dia bukan sibuk turun bantu orang, tapi sibuk tonjolkan ‘six-pack’. Kalau begini perangai sebelum jadi wakil rakyat, apa jadi kalau dapat portfolio menteri nanti? Jabatan pun tak terurus, yang terurus cuma badan dia.
“Kami tak tahu apa motifnya. Yang jelas, tindakan Firdaus bukan sekadar melemahkan semangat jentera, tetapi pemilihannya menunjukkan Warisan masih bergelut dengan masalah dalaman yang tak selesai sejak PRU lalu,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Sumber itu turut mendakwa jentera Warisan di Tanjung Keramat kini berpecah kerana Firdaus bukan calon pilihan di peringkat kawasan, namun berjaya dicalonkan selepas menggunakan peluang bertemu Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.
Jelasnya, kekecewaan itu turut diterjemahkan dalam bentuk penolakan senyap oleh sebahagian ahli akar umbi yang kini dikatakan enggan turun berkempen secara aktif.
“Kalau jentera sendiri sambil lewa, jangan terkejut kalau keputusan nanti memalukan. Ini semua berpunca daripada keputusan parti yang tidak telus.
“Jentera tidak puas hati. Mereka sudah cadang nama lain, tapi Firdaus naik sebab dia pandai tonjolkan diri depan Presiden. Bila turun kawasan, senyap. Bila jumpa Presiden, melompat,” katanya.
“Firdaus sebagai penyelaras kawasan gagal menguruskan cawangan-cawangan parti, namun kini mahu memenangi kerusi DUN dengan bergantung sepenuhnya kepada ‘poster boy’ Shafie Apdal. Dia nak undi sebab Shafie, bukan sebab kerja dia. Itu bukan strategi, itu menumpang,” katanya.
Sementara itu, sumber sama mendakwa sebahagian besar penduduk di Tanjung Keramat langsung tidak mengenali Firdaus kerana beliau jarang turun padang sebelum namanya diumumkan sebagai calon.
“Firdaus juga lebih gemar bergambar daripada menjalankan kerja lapangan, malah didakwa menarik individu daripada parti lain untuk hadir dalam sesi bergambar walaupun mereka sebenarnya sudah ‘dibooking’ untuk pihak lawan.
“Orang tua di sini kebanyakan tidak pun kenal siapa Firdaus.Dia bukan sahaja tidak membawa cawangan-cawangan Warisan sendiri, malah akar umbi pun tidak merasa kehadirannya. Semua ini menimbulkan banyak persoalan,” katanya.




