
KEPAYAN – Gerakan Black Wave semakin mendapat perhatian pengundi muda dan pertengahan usia di Sabah yang melihatnya sebagai wadah meluahkan kekecewaan terhadap ahli politik serta parti-parti sedia ada menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Tinjauan The Malaysia Press (TMP) mendapati rata-rata pengundi yang ditemui percaya Black Wave menawarkan pendekatan lebih dekat dengan rakyat berbanding parti yang dianggap gagal menunaikan janji serta mengabaikan suara golongan muda.
Bagi Sabrina Angel Mahendran, 23, gerakan Black Wave menjadi simbol penolakan terhadap sikap parti politik yang sering memperlekeh pandangan belia.
Katanya, sepanjang penglibatannya dalam politik sebelum ini, suara anak muda sering dipinggirkan dan dianggap tidak penting, sekali gus menambah rasa muak terhadap budaya politik lama.

“Sebelum ini, saya sudah lama ikut politik yang sangat besar tapi saya sebagai belia tidak dipeduli sebenarnya bila kita ckp kita punya idea kita punya pandangan, mereka akan balas anak muda ini terlalu muda dan apa yang kita keutarakan hanya dipandang serong.
“Saya kecewa apabila belia diperendah dan diperlekehkan, sebab itu kita perlu sokongan bebas gerakan Black Wave. Saya pun dah kaji terlebih dahulu siapa mereka. Dengan cara mereka bekerja, saya percaya dengan kemampuan mereka dalam membawa suara rakyat,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Zachary Kolis Bandusena, 23, pula memaklumkan, Black Wave lebih dekat dengan budaya dan denyut nadi masyarakat Sabah berbanding parti politik lama yang disifatkan sudah berkali-kali mengecewakan harapan pengundi.
Dia menegaskan bahawa anak muda mahukan wakil rakyat yang bekerja untuk rakyat, bukan untuk parti atau kepentingan peribadi.

“Kalau terus pilih parti lama, mereka ulang kesilapan sama, abaikan pengundi. Calon bebas perlu diberi peluang tunjuk mereka bukan hanya pandai cakap macam parti politik.
“Kita punya suara rakyat dia boleh wakilkan kita. Mereka (Black Wave) ini lebih bekerja untuk rakyat berbanding dengan parti sedia ada yang hanya tahu temberang rakyat,” katanya.
Sementara itu, Jumad Udi, 37, yang merupakan anak jati Kepayan berpandangan sokongannya terhadap Black Wave didorong keyakinan kepada calon di kawasan itu yang dikenali sebagai individu berpengalaman dalam membantu masyarakat setempat.

“Saya kenal calon Black Wave di Dun Kepayan. Dia memang kerja lama di Kepayan dan faham masalah kawasan ini. Orang di sini pun kenal dia serta dia tahu selok belok kawasan ini. Sebab itu saya yakin dia mampu bawa suara Kepayan ke peringkat negeri,” katanya.
Bagi Yorley Sara Francis, 47, Black Wave dipilih kerana gerakan itu tidak terikat dengan mana-mana parti, sekali gus memberi ruang lebih luas kepada calon untuk memperjuangkan kepentingan rakyat secara bebas.
“Mereka ada pendirian dan bebas bersuara. Tidak perlu ikut arahan parti atau jaga kepentingan presiden. Saya pun bukan orang politik, tapi ini kali pertama saya terlibat kerana Black Wave selari dengan apa yang rakyat Sabah mahukan.

“Saya pilih Black Wave inj adalah disebabkan manifestasi rakyat Sabah yang sudah kecewa dengan parti parti politik tradisional. Parti parti dahulu hanya pandai berjanji, tiap tiap tahun janji yang sama tapi tidak ditunaikan. Lagipun, tiada apa perubahan pun dengan parti parti politik ni.
“Keutamaan kami rakyat Sabah adalah kebajikan. Kadang kadang peruntukan tidak sampai dan bantuan pun diutamakan kepada saudara bukan kepada orang yang betul betul memerlukan selain ingin membasmi rasuah secara holistik,” katanya.





