ART Malaysia–AS lindung ekonomi, kekal akses pasaran – Tengku Zafrul

PERJANJIAN Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) penting bagi melindungi ekonomi Malaysia dan memastikan negara terus mengekalkan akses ke pasaran bernilai tinggi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tanpa ART, Malaysia berdepan risiko kehilangan akses ke pasaran AS yang bernilai hampir RM200 bilion tahun lalu.

Beliau berkata, lebih satu juta pekerjaan dan 7,700 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berisiko terjejas akibat gangguan rantaian bekalan dan peralihan pelaburan ke negara lain.

“Dengan ART, Malaysia boleh mengekalkan daya saing global, melindungi eksport bernilai tinggi terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor yang memberikan kepastian kepada pelabur dan mengelak tindakan tarif unilateral,” katanya ketika sidang media di Parlimen, pada Khamis.

Beliau menafikan dakwaan ART hanya memberi manfaat kepada AS dan mencerminkan kedaulatan negara tergadai.

Tengku Zafrul menegaskan perjanjian itu tidak mengikat dasar domestik negara, sebaliknya melindungi kepentingan eksport Malaysia yang besar.

Malaysia sebagai negara pengeksport bersih mencatat lebihan perdagangan sebanyak RM75 bilion dengan AS tahun lalu.

“Perjanjian itu tidak mengikat dasar domestik Malaysia dan tidak memerlukan liberalisasi tarif atau pembukaan pasaran yang tidak seimbang. ART tidak menyentuh isu-isu sensitif seperti makanan, data, pertahanan atau keselamatan dalaman,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa perjanjian dengan AS akan menjejaskan hubungan Malaysia-China.

“Ini bukan perjanjian geopolitik. Ia perjanjian perdagangan,” katanya sambil menegaskan Malaysia terus mengekalkan akses kukuh ke pasaran lain melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Beliau juga menolak dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa ART menjejaskan hak Bumiputera.

“Sepanjang rundingan, hak Bumiputera antara salah satu garisan merah kami. Ia langsung tidak terjejas. Saya cabar Tun M (Mahathir) yang membuat dakwaan itu untuk menunjukkan klausa yang kononnya memberikan status Bumiputera kepada syarikat AS,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa Ahli Parlimen menumpukan perbincangan pada hasil keseluruhan perjanjian.

“Ada yang setuju, ada yang bersetuju untuk tidak bersetuju. Peguam mentafsir dokumen yang sama secara berbeza, itu sebab mereka wujud. Tetapi kita mesti melihat hasil, adakah perdagangan kita akan terjejas, adakah ekonomi kita akan terjejas,” katanya.

Tengku Zafrul menegaskan tiada rancangan mengkaji semula ART buat masa ini, tetapi sebarang semakan masa depan memerlukan persetujuan bersama.

“Buat masa ini, kita mahu memastikan semua agensi dan kementerian yang terlibat selaras. Setelah semua bersedia, kita akan meneruskan pelaksanaan,” katanya.

Related Posts

Sektor kesihatan perlu dilihat sebagai strategi ekonomi

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu melihat sektor kesihatan sebagai strategi ekonomi negara, bukan sekadar soal rawatan, berikutan peningkatan jumlah penduduk warga emas dan kos perubatan semakin tinggi. Timbalan Menteri Ekonomi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lima mangsa nahas helikopter ditemukan dalam bangkai pesawat

MIRI – Kesemua lima individu yang menaiki helikopter berdaftar 9M-LLF ditemukan maut di dalam bangkai pesawat yang terhempas dan terbakar di hujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang pada petang Selasa.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Mohamad Hairul dipilih Senator Perak, raih 33 undi ADUN

Mohamad Hairul dipilih Senator Perak, raih 33 undi ADUN

Penjaja buah, makanan Jalan Apas diarah berpindah

  • By Fatin
  • September 10, 2026
Penjaja buah, makanan Jalan Apas diarah berpindah

56 tindakan penguatkuasaan direkodkan dalam Ops Bersepadu LPKP Sandakan

  • By Fandi
  • September 10, 2026
56 tindakan penguatkuasaan direkodkan dalam Ops Bersepadu LPKP Sandakan

23 usahawan Sabah terima Geran SME-UP RM230,000

23 usahawan Sabah terima Geran SME-UP RM230,000

Inisiatif FELDA beri kuasa kepada Pengarah Wilayah sangat tepat

Inisiatif FELDA beri kuasa kepada Pengarah Wilayah sangat tepat

Sektor kesihatan perlu dilihat sebagai strategi ekonomi

Sektor kesihatan perlu dilihat sebagai strategi ekonomi