
KOTA KINABALU – Seramai 23 usahawan tempatan Sabah menerima Geran SME-UP berjumlah RM230,000 bagi memperkukuh pembungkusan dan pelabelan produk, sekali gus meningkatkan kualiti serta daya saing produk mereka di pasaran.
Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, setiap usahawan menerima geran bernilai RM10,000 sebagai antara inisiatif kerajaan membantu usahawan meningkatkan kualiti produk dan mengembangkan perniagaan.
“Walaupun dari segi nilainya bantuan ini mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak, namun tiada langkah besar yang tidak bermula daripada langkah kecil dan tiada kejayaan besar yang tidak bermula daripada usaha kecil.
“Saya berharap usahawan yang menerima geran ini akan terus berjaya serta menjadi contoh, motivasi dan inspirasi kepada usahawan lain, termasuk graduan dan golongan belia yang masih mencari pekerjaan.
“Mudah-mudahan kejayaan mereka akan mendorong lebih ramai untuk turut berkecimpung dalam bidang keusahawanan,” katanya selepas menyempurnakan majlis ringkas penyampaian Geran SME-UP (Pembungkusan) kepada 23 usahawan tempatan Sabah, pada Khamis.
Ewon berharap bantuan yang disalurkan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima bagi meningkatkan produktiviti serta mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), agensi di bawah MINDET Sabah, atas komitmen serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dalam usaha memperkasa dan membangunkan usahawan tempatan Sabah.
“Saya menghargai dedikasi dan usaha DIDR yang diketuai Pengarahnya, Siti Nur’Ain Abdullah serta seluruh warga jabatan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membangunkan usahawan tempatan Sabah,”ujarnya

Sementara itu, Pengarah DIDR Sabah, Siti Nur’Ain Abdullah berkata, Geran SME-UP itu merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) meningkatkan kapasiti perniagaan serta memperkukuh daya saing produk di pasaran.
“Kita berharap para penerima dapat memanfaatkan bantuan ini sebaik-baiknya untuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya saing IKS di pasaran.
“Pembekal yang dilantik bagi program bantuan ini juga perlu memastikan setiap usahawan menerima peralatan dan kemudahan berkualiti, termasuk pembungkusan yang baik dan menarik supaya produk mereka lebih berdaya saing di pasaran,” katanya.
Beliau turut berharap bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima bagi mengembangkan perniagaan, meningkatkan pendapatan dan mewujudkan peluang pertumbuhan yang lebih baik pada masa akan datang.






