KOTA KINABALU – Parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah ketika ini sudah mula menggandakan usaha dan gerak kerja untuk menawan hati pengundi.
Memasuki minggu kedua yang dianggap penentu, fasa ini menjadi medan kritikal bagi setiap jentera dalam memastikan sokongan tidak beralih pada saat-saat akhir.
PRN17 Sabah kali ini masih mempamerkan pendekatan bersemuka masih menjadi strategi utama, baik di kawasan pedalaman mahu pun bandar dalam memperkenalkan calon selain menjadi ukuran awal sokongan semasa yang diterima calonnya.
Bagi calon muda dan muka baharu, pendekatan itu membantu mewujudkan hubungan langsung dengan pengundi dengan menilai bukan sekadar janji, tetapi personaliti, kredibiliti dan wawasan calon selain berupaya membentuk interaksi positif dengan pengundi yang menilai perwatakan serta idea dibawa calon demi kepentingan kawasan.
Separuh masa awal kempen menyaksikan majoriti parti mengumumkan manifesto masing-masing. GRS membuka tirai dengan tema ‘Rumah Kita, Kita Jaga. Tanah Air Maju, Rakyat Berkemajuan”‘ yang menampilkan empat teras dan 16 strategi pembangunan negeri.
Selang beberapa hari kemudian, STAR mengemukakan pramanifesto bertemakan ‘Sabah Maju, Makmur dan Merdeka’ diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan menampilkan manifesto lebih padat melalui tema ‘Kasi Bagus Sabah’, merangkumi 12 tunjang dan 159 tawaran merangkumi aspek ekonomi rakyat dan pembinaan negeri.
Pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) meluncurkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) dengan menggariskan enam teras utama, termasuk kemakmuran ekonomi, menjamin hak Sabah, pendidikan berkualiti, peranan wanita dan orang muda serta kelestarian sumber alam.
Beberapa parti tempatan seperti KDM serta calon Bebas mengambil pendekatan berbeza apabila hanya menawarkan manifesto berfokus kepada DUN yang ditandingi. Pakatan Harapan (PH) turut mengemukakan tawaran mereka lebih awal, manakala Warisan yang memiliki pengaruh kuat di pantai timur turut mengumumkan manifestonya, pada Ahad.

Menariknya, majoriti parti memberi tumpuan sama pada isu tiga serangkai melibatkan bekalan air, elektrik dan jalan raya, selain komitmen menyelesaikan hak Sabah di bawah MA63 termasuk tuntutan pemberian khas 40 peratus hasil negeri, menjadi penekanan hampir semua parti besar.
Cadangan penubuhan Tabung Kedaulatan Sabah turut menjadi elemen bersama dalam manifesto GRS, BN, PH dan PN, di mana penubuhannya dianggap seiring hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu pemberian khas 40 peratus ke atas Sabah.
Di pantai barat, gelanggang utama kempen lebih banyak berpusat pada persaingan GRS dan BN walaupun parti tempatan seperti KDM dan STAR turut menggerakkan jentera masing-masing. Dominasi dua parti besar itu dilihat lebih jelas daripada aspek logistik dan mobilisasi.
Namun, senario berbeza berlaku di pantai timur Sabah khususnya di Sandakan, Lahad Datu, Kunak dan Tawau. Di kawasan ini, Warisan kekal menjadi antara pencabar paling ketara berdasarkan penyertaan ramai penyokong di siri ceramah serta kempen rumah ke rumah dalam memberi gambaran bahawa saingan sengit bakal berlaku di beberapa kerusi strategik.
Sementara itu, GRS dilihat selesa menampilkan ramai penyandang serta pemimpin berpengalaman yang dilihat mudah mendekati pengundi berdasarkan rekod kerja sepanjang penggal lalu. Namun, beberapa kerusi menuntut perhatian khusus.
Di Pintasan, penyertaan Tan Sri Pandikar Amin Mulia di bawah tiket GRS dijangka memberi nilai tambah berdasarkan prestasi PRN 2020 yang menyaksikan beliau tewas tipis 84 undi namun kehadiran Datuk Fairuz Renddan sebagai calon bebas memberi cabaran baharu yang mungkin menjejaskan pergerakan undi tradisi.
Pertembungan epik di DUN Bongawan yang menyaksikan ‘guru bertemu murid’, iaitu Tan Sri Anifah Aman mewakili GRS berdepan Datuk Mohamad Alamin bagi BN juga dianggap kerusi panas. Kedua-dua tokoh itu mempunyai pengaruh besar dan cukup dikenali di kawasan terbabit, menjadikan usaha menumbangkan penyandang Warisan, Dr Daud Yusuf, sesuatu yang getir.







