
DATUK Seri Anwar Ibrahim berangkat ke Johannesburg, Afrika Selatan, hari ini bagi mewakili Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 di Sidang Kemuncak Pemimpin G20, sekali gus memperkukuh suara rantau itu dalam perbincangan global berkaitan pembangunan, ekonomi dan kemampanan.
Perdana Menteri akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Batu Uban, A Kumaresan; pegawai kanan kerajaan serta delegasi pemimpin perniagaan utama negara.
Penyertaan Anwar pada sidang kemuncak itu adalah atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta undangan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa, yang juga Presiden G20 2025.
G20 di bawah pimpinan Afrika Selatan menggunakan tema l, Solidariti, Kesaksamaan, Kemapanan, selari dengan tema Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, iaitu Keterangkuman dan Kemampanan, yang menekankan keutamaan pembangunan saksama dan mampan untuk ekonomi berdaya tumbuh tinggi.
Sepanjang persidangan itu, Anwar dijangka mengetengahkan perspektif ASEAN dalam dua sesi utama, termasuk isu kemampanan, keadilan ekonomi dan cabaran global.
Wisma Putra dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Perdana Menteri akan memberi penekanan terhadap sudut pandang ASEAN dalam kedua-dua sesi sidang kemuncak tersebut.
Anwar turut dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan Ramaphosa bagi meneruskan dan meneliti semula perbincangan yang dimulakan ketika lawatan rasmi pemimpin Afrika Selatan itu ke Malaysia bulan lalu, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan.
“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan bidang kerjasama utama termasuk perdagangan dan pelaburan, minyak sawit, industri halal, pendidikan serta pembinaan kapasiti, selain meneroka peluang baharu bagi memperkukuh hubungan dua hala.
“Perdana Menteri juga akan menerima kunjungan hormat Naib Presiden Botswana, Ndaba Nkosinathi Gaolathe, yang mana mereka dijangka membincangkan perkara berkepentingan bersama ke arah memperkukuh hubungan dua hala termasuk kerjasama dalam program transformasi ekonomi negara itu.”
Selain pertemuan dua hala, Anwar dijangka mengadakan sesi libat urus dengan rakan sejawat dari negara anggota dan negara jemputan G20 di sela-sela sidang kemuncak tersebut.
Perdana Menteri juga akan bertemu pimpinan komuniti Muslim Afrika Selatan serta pemain industri tempatan dalam satu forum perniagaan, selain berinteraksi dengan masyarakat Malaysia di Johannesburg pada sebuah majlis makan malam.
“Jemputan kepada Anwar untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 mencerminkan komitmen Afrika Selatan dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia.
“Peranan Anwar di sidang kemuncak itu membuka ruang kepada Malaysia untuk menonjolkan kejayaan dan pencapaian Pengerusi ASEAN-Malaysia 2025, sekali gus meningkatkan profil serta keterlihatan negara di platform G20 dan di arena global.”
G20 merupakan sebuah pertubuhan geoekonomi yang dianggotai 19 negara serta dua organisasi serantau, iaitu Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika.

