Wan Rosdy Wan Ismail
KUANTAN – Program Town Hall bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail malam Selasa lalu, membuka ruang sepenuhnya kepada rakyat memahami aspirasi dibawa kerajaan negeri.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, menerusi program itu juga memberi peluang kepada rakyat berinteraksi dengan lebih santai.
“Paling penting adalah peluang untuk tanya sendiri perkara yang sering menjadi persoalan seperti isu kesesakan lalu lintas, masalah air dan pelbagai lagi.
“Saya melihat kekuatan Datuk Seri Wan Rosdy dalam menjadi Pahang sebagai antara negeri paling makmur dan seterusnya dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas program itu.
Dia juga memaklumkan, rekod kutipan hasil melepasi RM1 bilion buat tahun ke-empat, menunjukkan segala usaha dilakukan barisan pimpinan kerajaan Pahang ketika ini, berada di landasan yang tepat.
![]()
Katanya, kerjasama rapat antara negeri dan Persekutuan juga menjanjikan pelbagai perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Rozilan Salleh dan Naib Ketua UMNO Bahagian itu, Mohd Adil Mohd Zain.
“Jadi memang bertepatan sekali penganjuran Town Hall Rakyat itu, kerana ia adalah untuk rakyat dan kepada rakyat.
“Perkara ini juga yang menjadi tumpuan utama Wan Rosdy sejak dipilih sebagai Menteri Besar Pahang pada 2018,” jelasnya.



