
KOTA KINABALU – Ketua Exco Wiramuda merangkap Ketua Bahagian Nabawan STARSabah, Jordan Jude Ellron meletakkan jawatannya serta-merta kerana mendakwa dirinya di ‘prank’ atau ditipu oleh Presiden STAR.
Jelasnya, sebelum ini presiden parti itu telah mengumumkan bahawa beliau akan menjadi bakal calon untuk Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Dewan Undangan (DU) Sabah yang bakal tiba ini namun ia tidak ditunaikan.
“Saya dengan tarikh hari ini (12 November) mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Exco Wiramuda STARSabah dan Ketua Bahagian Nabawan STARSabah serta merta.
“Kerana tidak satu kerusi diberi peluang untuk Exco Wiramuda STARSabah bertanding. Maksudnya, tiada pun satu anak muda diberi peluang.
“Semuanya hanya pejuang lama, pejuang baharu tidak diberi muka dan secara prinsip, saya letak jawatan kerana anggap tiada fungsi sebagai Ketua Exco Wiramuda,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Katanya lagi, beliau telah membuat persiapan untuk menjadi calon termasuk membeli bahan kempen dan membayar deposit pencalonan.
“Presiden telah mengumumkan bahawa saya sebagai Ketua Exco Wiramuda STARSabah akan menjadi bakal calon untuk PRU17 Sabah Tulid di Sokid Villa pada bulan Oktober secara umum dan disahkan oleh Mesyuarat Biro Politik yang juga dianggotai lapan pimpinan tertinggi dalam parti.
“Tidak lama lagi, Timbalan Exco Wiramuda STARSabah iaitu Razidin Robert, pun diumumkan secara umum dua kali, untuk bertanding di Bingkor.
“Pertama kali di Sokid Villa, kedua kali, Pelancaran Jentera Kiulu dan disahkan oleh Biro Politik, namun tidak ditunaikan juga,” ujarnya.
Tambahnya, pendirian presiden tidak konsisten yang mana bukan beliau seorang sahaja yang dijanjikan di tempat yang sama tetapi ada juga pemimpin lain yang dijanjikan.
“Jikalau Presiden boleh umum secara ramai saya (Ketua Exco Wiramuda) dan Razidin (Timbalan) sebagai calon tapi kena ‘prank’ apa lagi yang bawahan?,” soalnya.
Justeru, Jordan mengambil keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas di Tulid.







