Zohran Mamdani New York
WASHINGTON – Selepas kemenangan bersejarah Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York City yang pertama beragama Islam dan berketurunan Asia Selatan, beberapa ahli politik Republikan melancarkan usaha membatalkan kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS) beliau.
Zohran, yang dilahirkan di Uganda dan menjadi warganegara AS pada tahun 2018, kini berdepan tekanan politik daripada wakil Republikan seperti Andy Ogles (Tennessee) dan Randy Fine (Florida).
Mereka mendakwa Zohran membuat kenyataan palsu semasa proses naturalisasi dan menyeru Jabatan Kehakiman untuk menyiasat latar belakang beliau secara menyeluruh.
Presiden Donald Trump turut menyuarakan sokongan terhadap usaha ini, malah pernah mengancam untuk menarik balik dana persekutuan kepada New York City sekiranya Zohran menang pilihan raya.
Beliau juga menuduh Zohran sebagai seorang komunis, merujuk kepada keahlian beliau dalam organisasi Democratic Socialists of America.
Namun, pakar imigresen menegaskan bahawa penarikan kewarganegaraan hanya boleh dilakukan jika terdapat bukti kukuh bahawa pemohon membuat kenyataan palsu semasa permohonan.
Setakat ini, tiada bukti sahih menunjukkan Zohran melanggar syarat naturalisasi.
Langkah ini dilihat ramai pemerhati sebagai cubaan politik untuk menghalang Zohran daripada memegang jawatan, dan menimbulkan persoalan besar tentang kebebasan demokrasi serta hak kewarganegaraan di AS.



