
BINTULU – Usaha memperkasa ekonomi komuniti melalui kreativiti dan inovasi diteruskan dengan penganjuran Bengkel Pembuatan Sabun Berasaskan Beras yang diadakan di Dewan Suarah Bintulu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus.
Program anjuran Dewanita Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Bintulu dengan sokongan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) itu bertujuan memberi peluang pembelajaran baharu kepada masyarakat, khususnya wanita, serta membuka ruang ke arah pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Dalam ucapannya, Rosey menekankan bahawa penggunaan beras sebagai bahan asas dalam pembuatan sabun merupakan inovasi berasaskan sumber tempatan yang selari dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
“Beras bukan sekadar makanan ruji, tetapi juga boleh dijadikan bahan utama dalam produk penjagaan diri seperti sabun dan kosmetik semula jadi.
“Inovasi sebegini menyokong amalan kelestarian alam sekitar dan berpotensi untuk dikomersialkan bagi menjana pendapatan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bengkel Pembuatan Sabun Berasaskan Beras yang diadakan di Dewan Suarah Bintulu pada Ahad.
Beliau turut menyeru peserta agar memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh sepanjang bengkel dan tidak berhenti sekadar belajar, sebaliknya meneruskan usaha menghasilkan produk berkualiti serta berdaya saing di pasaran.

Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan kolaborasi antara agensi kerajaan, pihak swasta dengan komuniti bagi memastikan inisiatif seperti ini berterusan serta memberi impak positif kepada ekonomi tempatan.
Bengkel berkenaan disertai peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan pendedahan kepada teknik pembuatan sabun beras, aspek keselamatan serta strategi pemasaran asas bagi produk berasaskan bahan semula jadi.
Program ini diharap menjadi platform berterusan untuk melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya saing, kreatif dan inovatif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi mandiri dan lestari di peringkat komuniti.
Foto: Pusat Khidmat Masyarakat DUN N.71 Bekenu





