Isu kehakiman: Pembangkang perlu mohon maaf kepada Anwar

PEMERHATI politik, Raggie Jessy Rithaudeen, menegaskan pembangkang perlu tampil memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan dakwaan serta putar belit yang dimainkan berhubung isu krisis kehakiman yang ternyata tidak berasas.

Menurut beliau, ketika isu kehakiman dibangkitkan oleh beberapa pihak mengenai tuduhan dilemparkan terhadap Perdana Menteri kononnya campur tangan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara.

Katanya, pembangkang ketika itu mendakwa Anwar mempunyai konflik kepentingan kerana masih mempunyai kes di mahkamah, sekali gus mempersoalkan kelayakannya menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi negara.

“Pembangkang waktu itu memainkan naratif bahawa Anwar perlu berundur kononnya bagi menjaga kebebasan kehakiman. Hakikatnya, bila Perdana Menteri meletak jawatan, kerajaan akan turut tumbang secara automatik.

“Jadi, tuntutan supaya Anwar berundur sebenarnya satu percubaan untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya dalam siaran langsung di Facebook.

Beliau menjelaskan, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kuasa melantik Ketua Hakim Negara terletak di bawah budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong dan sebarang cadangan atau nasihat daripada Perdana Menteri tidak semestinya mengikat keputusan baginda.

“Oleh itu, dakwaan kononnya Anwar boleh mempengaruhi pelantikan hakim dan keputusan kesnya adalah satu bentuk putar belit. Kuasa muktamad tetap di tangan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Raggie turut menyifatkan pembangkang bersikap hipokrit apabila dalam masa sama mempersoalkan mengapa Anwar tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Kalau benar mereka tidak mahu Anwar terlibat dalam pelantikan baharu, mereka juga tidak sepatutnya mendesak supaya Anwar melanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun. Ini jelas menunjukkan pendirian mereka tidak konsisten dan penuh kepentingan politik,” katanya.

Beliau turut memuji tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, yang tampil memohon maaf kepada Perdana Menteri selepas mengakui kenyataannya sebelum ini berhubung penglibatan Tengku Maimun dalam satu kes rayuan melibatkan Anwar adalah tidak benar.

“Sekurang-kurangnya Waytha Moorthy berani mengakui kesilapan dan memohon maaf secara terbuka. Pembangkang dan aktivis yang sebelum ini menyebar dakwaan sama sepatutnya mencontohi keberanian itu,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan bila pembangkang akan bertanggungjawab terhadap semua tuduhan dan putar belit yang dilemparkan, bukan sahaja dalam isu kehakiman, malah dalam isu-isu lain seperti projek pembangunan semula bandar dan pembangunan semula Kampung Sungai Baru.

“Sudah sampai masanya pembangkang memohon maaf kepada Perdana Menteri dan rakyat kerana menimbulkan kekeliruan dengan isu yang ternyata tidak berasas. Kalau mereka benar-benar berjuang atas dasar kebenaran, sepatutnya mereka berani mengakui kesilapan,” katanya.

Tambahnya, selepas pelantikan baharu Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan diumumkan, ternyata semua pihak termasuk Majlis Peguam berpuas hati dengan keputusan tersebut dan dakwaan konflik kepentingan yang digembar-gemburkan sebelum ini ternyata tidak wujud.

“Segala kebimbangan dan syak wasangka yang dimainkan pembangkang akhirnya terbukti palsu. Namun sehingga hari ini, tiada satu pun pemimpin pembangkang yang tampil memohon maaf. Persoalannya, bila mereka mahu berbuat demikian?” katanya.

Related Posts

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik Pengerusi Majlis Media Malaysia

KUALA LUMPUR – Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan, dilantik sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM), badan kawal selia kendiri industri media negara yang ditubuhkan menerusi Akta Majlis…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ahmad Shahir mohon maaf isu gelaran ‘Tok Undang’, tegas hormati Institusi Undang

SEREMBAN – Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah memohon maaf kepada Undang Yang Empat susulan kontroversi penggunaan gelaran ‘Tok Undang’ yang dikaitkan dengan Pengerusi Pakatan Harapan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

LPKP Sabah perjelas isu pelaksanaan BAS.MY Kota Kinabalu

LPKP Sabah perjelas isu pelaksanaan BAS.MY Kota Kinabalu

Tindakan penguatkuasaan tegas kepada pemilik sewa premis termasuk pelarian Rohingya

Tindakan penguatkuasaan tegas kepada pemilik sewa premis termasuk pelarian Rohingya

Sabah catat penurunan 5.9 peratus kadar penagih, penyalahgunaan dadah serta bahan

Sabah catat penurunan 5.9 peratus kadar penagih, penyalahgunaan dadah serta bahan

Regatta Lepa ke-31 dijangka tarik 50,000 pengunjung ke Semporna

Regatta Lepa ke-31 dijangka tarik 50,000 pengunjung ke Semporna

355 mangsa kebakaran Kampung Bahagia terima bantuan KESUMA

355 mangsa kebakaran Kampung Bahagia terima bantuan KESUMA

Pelebaran jalan Taman Sri Lagenda langkah positif, namun belum cukup atasi kesesakan – Vivian

Pelebaran jalan Taman Sri Lagenda langkah positif, namun belum cukup atasi kesesakan – Vivian