Bot bawa PATI karam dekat perairan Langkawi

LANGKAWI – Sebuah bot dipercayai membawa 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar, Bangladesh dan Rohingya pecah di laut berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand.

Setakat ini enam PATI ditemui selamat, dan seorang wanita Myanmar disahkan maut dalam tragedi itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, bot berkenaan sebahagian daripada kapal besar membawa kira-kira 300 orang, sebelum dihantar sindiket ke tiga bot kecil sewaktu menghampiri sempadan negara.

“Tiga hari lalu, ketika hampir tiba di sempadan, kumpulan itu dipecahkan oleh sindiket dan dipindahkan ke tiga bot kecil, masing-masing memuatkan lebih kurang 90 orang.

“Bot itu dipercayai karam, manakala dua lagi masih belum dapat dikesan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Menurutnya, enam mangsa yang ditemui terdiri warga Myanmar termasuk etnik Rohingya, selain Bangladesh.

Katanya, tiga mangsa pertama yang ditemui adalah lelaki Myanmar, manakala tiga lagi yang ditemui petang Sabtu terdiri dua Rohingya dan seorang warga Bangladesh.

“Sementara itu, mayat seorang wanita Rohingya turut ditemui hanyut di laut,” katanya.

Mengulas lanjut, Adzli berkata, setiap individu dipercayai membayar kira-kira RM13,000 kepada sindiket bagi perjalanan ke Malaysia.

“Kapal terbabit bawa 300 orang bercampur Myanmar, Bangladesh dan Rohingya sejak sebulan lalu.

“Mereka difahamkan membayar RM13,000 seorang dan ada yang hingga menjual tanah untuk membayar sindiket datang ke sini,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut kini masih dijalankan.

Dalam pada itu, Adzli berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin untuk mengesan mangsa lain serta baki bot yang ‘hilang’.

Related Posts

Polis Sabah terima 13 laporan susulan ucapan berkait paderi, biarawati

KOTA KINABALU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menerima 13 laporan polis setakat tengah hari Khamis susulan ucapan yang didakwa menyentuh agama Kristian pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Gempa bumi lemah 3.7 magnitud dikesan 88km utara Sandakan

SANDAKAN – Gempa bumi lemah bermagnitud 3.7 dikesan berlaku pada jarak kira-kira 88 kilometer (km) utara dari Sandakan, Sabah pada jam 10.30 malam Khamis. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kertas siasatan Noorazli isu paderi dibawa kepada Peguam Negara Sabtu ini

Kertas siasatan Noorazli isu paderi dibawa kepada Peguam Negara Sabtu ini

Anwar bukan mahu raih politik, rakyat perlu tahu ‘pucuk pangkal’ isu Rohingya

Anwar bukan mahu raih politik, rakyat perlu tahu ‘pucuk pangkal’ isu Rohingya

Pengguna tidak lagi gunakan BNPL membeli barangan bernilai tinggi

Pengguna tidak lagi gunakan BNPL membeli barangan bernilai tinggi

Tahanan rumah Najib: ‘Saya tidak pernah tandatangani’ – Hannah Yeoh

Tahanan rumah Najib: ‘Saya tidak pernah tandatangani’ – Hannah Yeoh

UMNO mahu berlagak jadi ‘abang long’, Pas berdepan tekanan perebutan kerusi

UMNO mahu berlagak jadi ‘abang long’, Pas berdepan tekanan perebutan kerusi

Kerajaan Negeri Sembilan tidak laksana proklamasi 19 April

Kerajaan Negeri Sembilan tidak laksana proklamasi 19 April