
KUALA LUMPUR – Transaksi Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) yang kini banyak digunakan bagi perbelanjaan kecil, bukan lagi tertumpu pembelian barangan bernilai tinggi membuktikan kemudahan itu menjadi pilihan pengguna untuk mengurus aliran tunai harian.
Berdasarkan Data Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP), pengguna ketika ini menggunakan kaedah terbabit, antara lain bagi membuat pembelian makanan, barangan runcit, pengangkutan dan perkhidmatan.
Laporan itu juga mempamerkan nilai purata setiap transaksi BNPL hanya RM85 pada separuh kedua 2025, kekal di bawah RM100, menggambarkan pengguna turut menggunakan kemudahan itu bagi transaksi bernilai kecil.
“Sebilangan besar pengguna cenderung menggunakan BNPL untuk perbelanjaan harian terutamanya dalam kategori makanan dan restoran, pembelian barangan runcit, pengangkutan dan perkhidmatan.
“Dalam tempoh enam bulan kedua 2025 sebanyak 140.4 juta transaksi BNPL bernilai RM12 bilion direkodkan, masing-masing meningkat 36.8 peratus dan 29 peratus berbanding separuh tahun sebelumnya.
“Perkembangan itu menunjukkan penggunaan BNPL semakin meluas dalam urusan kewangan harian dan bukan lagi tertumpu kepada pembelian tertentu atau barangan bernilai tinggi,” katanya menerusi laporan Perkembangan Industri BNPL di Malaysia bagi Disember 2025.
Pada masa sama, laporan yang dihasilkan SKP itu menunjukkan, bilangan pemegang akaun BNPL aktif meningkat kepada 7.5 juta pada separuh kedua 2025, lebih dua kali ganda berbanding 2.6 juta yang direkodkan pada separuh pertama 2023.
Data itu turut memaklumkan, sekitar 40 peratus transaksi BNPL dari segi bilangan dan nilai pula dibuat oleh golongan berusia 30 tahun dan ke bawah, menunjukkan kemudahan itu turut mendapat penggunaan meluas dalam kalangan pengguna lebih muda.
“Pertumbuhan penggunaan berkenaan turut disertai peningkatan baki kredit BNPL kepada RM4.9 bilion pada separuh kedua 2025, berbanding RM3.8 bilion pada separuh pertama tahun berkenaan dan RM2.8 bilion pada separuh kedua 2024.
“Bagaimanapun, BNPL hanya menyumbang 0.3 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah setakat Disember 2025,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif SKP, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, pengawalseliaan kredit pengguna penting bagi memastikan amalan pemberian kredit dilaksanakan secara telus, adil dan bertanggungjawab, selain melindungi kepentingan pengguna.
Beliau menjelaskan, SKP komited memastikan amalan industri selaras dengan mandat untuk melindungi kepentingan pengguna, di samping menyokong pembangunan industri yang mampan.

“Dari segi pembayaran balik, kadar jumlah tertunggak berada pada 3.3 peratus, manakala kadar pemegang akaun dengan jumlah tertunggak adalah 3.6 peratus pada separuh kedua 2025.
“Secara keseluruhannya, kadar tertunggak kekal rendah, walaupun kadar pemegang akaun dengan jumlah tertunggak mencatat sedikit peningkatan dalam tempoh berkenaan. Sehingga Disember 2025, terdapat 16 penyedia BNPL, termasuk empat penyedia BNPL patuh Syariah.
“Lebih 95 peratus pemegang akaun aktif BNPL tertumpu kepada empat skim utama, iaitu SPayLater dengan 55.3 peratus, Atome (23.5 peratus), TikTok PayLater (10.3 peratus) dan PayLater by Grab (7.5 peratus),” katanya.
Abu Hassan berkata, perkembangan industri itu berlaku ketika kerangka kawal selia kredit pengguna turut diperkukuhkan dengan penyedia BNPL tertakluk kepada keperluan pelesenan serta piawaian kelakuan bagi meningkatkan perlindungan pengguna.
“Sebahagian besar penyedia BNPL akan membekukan akaun pengguna dengan serta-merta sekiranya berlaku kegagalan membayar ansuran.
“Dengan nilai purata transaksi rendah dan penggunaan semakin tertumpu kepada keperluan harian, BNPL kini dilihat sebagai antara pilihan pembayaran yang digunakan pengguna dalam mengurus aliran tunai, khususnya bagi perbelanjaan kecil dan berkala” katanya.






