
KOTA KINABALU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menerima 13 laporan polis setakat tengah hari Khamis susulan ucapan yang didakwa menyentuh agama Kristian pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kesemua laporan berkenaan telah dirujuk kepada laporan polis awal yang dibuat di Kelana Jaya, Selangor dan siasatan dijalankan oleh pihak Bukit Aman.
“Kesemua laporan itu telah kita rujuk kepada laporan polis awal yang dibuat di Kelana Jaya dan siasatan dibuat oleh pihak Bukit Aman.
“Laporan polis yang diterima di Sabah dibuat oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya melihat isu berkenaan secara matang serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Lawatan Awam ke Galeri Polis Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, pada Khamis.
Menurut Jauteh, memandangkan perkara ini masih tular dalam media massa ketika ini, kita mengharapkan supaya masyarakat melihat perkara ini secara matang.
“Laporan polis yang telah dibuat sudah diambil tindakan oleh PDRM, khususnya bagi memastikan siasatan yang telus dijalankan.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri berhubung isu berkenaan dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Kita menasihatkan orang ramai supaya bertindak secara bijak dan berfikiran matang dalam keadaan seperti ini,”ujarnya.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said didakwa menyentuh agama Kristian termasuk paderi, biarawati serta kitab Bible (Alkitab) ketika berucap di pentas PAU 2026.





