N11 BN Razak Daud - kuda jinak
KUANTAN – Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) bagi lokaliti FELDA Jengka 24 dengan kerjasama pengurusan Masjid As-Sobirin, FELDA Jengka 24, Jerantut, menganjurkan program ‘Fun Work & Plogging’ di perkarangan masjid berkenaan, hari ini.
Selain aktiviti mengutip sampah dan membersihkan kawasan sekitar bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes, penduduk juga berpeluang menyertai sukan memanah dan menaiki kuda.
![]()
Pengerusi COMBI bagi lokaliti itu, Sapura Mahat berkata, program kali kedua dianjurkan di tanah rancangan berkenaan mendapat kerjasama dan sambutan amat menggalakkan.
“Ramai yang tampil mengambil bahagian dalam pelbagai acara disediakan sejak pagi hingga petang tadi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, program itu diadakan dengan objektif utama untuk merapatkan lagi hubungan antara warga peneroka di tanah rancangan itu.
“Kita menyediakan pelbagai aktiviti yang boleh disertai oleh semua peringkat umur, nak belajar memanah pun boleh dan kalau minat aktiviti lasak, penduduk boleh cuba menaiki kuda yang jinak.
“Bagi kanak-kanak pula, kita anjurkan pertandingan melukis dan mewarna… banyak hadiah menarik disediakan.
“Penduduk juga mengambil bahagian dalam acara berjalan santai atau brisk walk dan secara tidak langsung, kita mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan peneroka,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, kaunter pemeriksaan kesihatan juga disediakan di perkarangan masjid itu, sepanjang program berlangsung.
Sambutan diterima sangat baik daripada penduduk dan pihak pengurusan masjid juga berjaya mendapat bantuan daripada agensi berkaitan bagi memastikan program itu berjaya.
“Kita merancang untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan… Insya-Allah, tahun depan kita buat lagi dengan lebih meriah,” ujarnya.

Razak dalam masa yang sama menjelaskan, penganjuran program itu adalah untuk membuka ruang seluasnya kepada penduduk mengenai fungsi masjid yang pelbagai.
Katanya, masjid bukan lagi menjadi tempat beribadat semata-mata, tapi boleh menjadi pusat pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang boleh membina nilai positif.
Jelasnya, setiap program diatur pihak pengurusan Masjid As-Sobirin juga mengambil kira pandangan komuniti setempat, supaya ia dapat meninggalkan kesan kepada semua pihak.




