
PUTATAN – Seramai 16,518 belia di Sabah kini menikmati manfaat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Kementerian Komunikasi yang berperanan memperkukuh literasi digital serta pembangunan komuniti di seluruh negeri.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program berkenaan dilaksanakan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan pelbagai modul di bawah Perkhidmatan Pintar NADI.
Katanya, ia termasuk Nadipreneur, pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kesedaran keselamatan siber dan etika media sosial, MyFutureJobs, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) serta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
“Hingga kini, 16,518 belia di Sabah telah mengikuti program NADI, dengan jumlah keahlian belia di seluruh negeri mencapai 50,439 orang.
“Selain itu, program Duta NADI dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), turut memperkukuh advokasi keselamatan siber serta literasi digital di peringkat komuniti,” katanya di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Fahmi menghadiri Program Hari Bersama Komuniti (HBK) dan Temu Anak Muda di NADI Kampung Kopimpinan, Putatan, selain meninjau menara telekomunikasi di Kampung Keronggu, Inanam bagi menilai keberkesanan projek JENDELA Fasa 1 dalam memperkukuh liputan komunikasi di kawasan tersebut.
Jelasnya, menara berkenaan kini menyediakan liputan 4G kepada pengguna CelcomDigi, Maxis dan U Mobile dengan purata kelajuan 90 Mbps menggunakan Starlink, sementara menunggu pelaksanaan sambungan gentian optik.
“Inisiatif itu memberi manfaat kepada lebih 500 penduduk, dan mencerminkan peningkatan capaian Internet di Sabah yang kini mencapai 96.81 peratus, berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan Jendela.
“Penyedia perkhidmatan turut diminta menambah kapasiti bagi memastikan kualiti liputan mematuhi piawaian MCMC,” katanya.
Selain itu, beliau turut meninjau menara telekomunikasi di Kampung Tulung, Penampang yang terjejas akibat banjir, bagi melihat kerja menaikkan kabinet peralatan telekomunikasi yang telah dilaksanakan untuk memastikan kestabilan dan kesinambungan operasi rangkaian semasa cuaca ekstrem.
“Kerja-kerja tersebut dilaksanakan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) bersama GTP Network Sdn. Bhd, bagi memperkukuh ketahanan serta kebolehoperasian infrastruktur komunikasi di kawasan berisiko tinggi seperti Penampang dan Kota Kinabalu,” ujarnya.
Tambah Fahmi, Kementerian Komunikasi bersama MCMC akan terus komited memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan komunikasi dan capaian Internet berkualiti melalui pelbagai inisiatif pembangunan infrastruktur digital dan pemerkasaan komuniti setempat.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.







