GERIK – Tujuh ekor gajah liar dewasa berusia antara 20 hingga 35 tahun berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di kawasan Bersia Lama, di sini selepas dilaporkan berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk sejak awal bulan lalu.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, kesemua gajah berkenaan terdiri daripada dua ekor jantan dan lima ekor betina yang ditangkap secara berperingkat bermula 25 Oktober lalu.
Menurutnya, operasi itu dijalankan susulan aduan penduduk mengenai gangguan kumpulan gajah liar di kawasan penempatan serta kebun mereka.
“Kesemua gajah tersebut akan dipindahkan ke habitat semula jadi yang lebih sesuai dan selamat secara berperingkat menggunakan gajah denak,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, dua ekor gajah denak, Abot dan Ceri, digunakan bagi memujuk serta menarik keluar gajah liar yang berjaya ditangkap sebelum dipindahkan ke atas lori.
“Buat masa ini, dua ekor gajah liar akan dipindahkan terlebih dahulu, manakala baki lima ekor lagi akan dipindahkan secara berperingkat,” jelasnya.
Operasi pemindahan mamalia besar itu bermula jam 9 pagi dan melibatkan 10 kakitangan Perhilitan Perak bersama 15 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.







