KUANTAN – Seramai 18 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari FELDA Jengka 24, dekat Jerantut, diraikan dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat khas di Masjid As-Sobirin, malam tadi.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, majlis itu diadakan bagi menyuntik semangat pelajar terbabit menjelang peperiksaan berkenaan tidak lama lagi.
“Mereka adalah calon SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 24 dan kami harap semua pelajar ini akan mendapat ketenangan ketika menjawab soalan seterusnya memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.
Penganjuran majlis itu juga, katanya, dapat mempereratkan hubungan antara keluarga pelajar dan guru sekolah serta komuniti di situ.
“Menjadi harapan semua untuk melihat kejayaan anak-anak kita dari FELDA Jengka 24 dalam SPM tahun ini.
“Kita ingin lihat mereka bukan saja mendapat keputusan yang baik, tapi dalam masa yang mengharumkan nama tanah rancangan menerusi pencapaian mereka,” katanya.
Razak turut berkongsi keputusan SPM 2023 anaknya, Muhamad Alimie, yang memperoleh 9A.
“Pencapaian Alimie itu diharapkan menjadi pembakar semangat calon SPM tahun ini.
“Ia menunjukkan walaupun kita bersekolah di pinggir bandar, dalam kawasan tanah rancangan, namun ia tidak menghalang kejayaan apabila berusaha dengan tekun,” katanya.






