
TAWAU – Dalam zaman yang penuh dengan pelbagai suara rakyat, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan pendekatan yang berbeza iaitu mendengar dengan hati dan melaksanakan dasar yang benar-benar untuk rakyat.
Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Milus Alu@Abd Wahad berkata, perkara ini dibuktikan menerusi program Rapat-Rapat Bah Bersama Komuniti yang mendengar dan memahami keperluan sebenar rakyat akar umbi.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bukan dengan slogan kosong, tetapi dengan gerak kerja dan dasar yang berpijak di bumi rakyat.
“Kita tidak datang untuk menjanjikan bulan dan bintang tetapi untuk memastikan setiap keluarga di Tawau, setiap anak muda di Merotai, merasai nikmat pembangunan dan peluang yang adil,” katanya berucap pada Program Rapat-Rapat Bah Bersama Komuniti di Kampung Sungai Imam, pada Sabtu.
Menurut Milus, Sabah sentiasa menjadi contoh perpaduan yang kukuh walaupun di sebalik hiruk-pikuk politik.
“Kita boleh berbeza pandangan, tapi jangan berpecah hati. Kita boleh bertanding dalam idea, tapi jangan bertempur dalam kebencian.
“Kalau ada negeri yang boleh tunjuk Malaysia apa makna sebenar, ‘MADANI’ negeri itu ialah Sabah kerana kita kuat bila kita bersatu,” ujarnya.
Katanya, sebagai rakyat sebuah negara yang berpegang kepada semangat keadilan, kasih sayang dan kesejahteraan untuk semua, rakyat amat bertuah kerana Kerajaan Perpaduan terus menzahirkan keprihatinan melalui pelbagai inisiatif bantuan dan sokongan hidup rakyat agar menikmati kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.
Program Rapat-Rapat Bah itu menyaksikan Kampung Sungai Imam Merotai sebagai perintis sebelum diteruskan ke Lahad Datu serta beberapa kawasan luar bandar lain di negeri ini.



