KUANTAN – Cabaran sebagai pendidikan dengan perubahan masa membuka ruang kepada pelbagai masalah jika tidak diuruskan dengan baik.
Menyedari bebanan dipikul guru penolong kanan hal ehwal murid (HEM) dan guru disiplin, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan menganjurkan simposium khusus bagi tujuan itu.
Simposium HEM Peringkat Daerah Kuantan yang berlangsung di sini, menyaksikan seramai 275 guru penolong kanan HEM dan guru disiplin mengambil bahagian.
Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, penganjuran simposium itu adalah bersesuaian dengan isu disiplin yang membimbangkan dalam kalangan murid dan pelajar ketika ini.
“Pelajar zaman sekarang lebih manja berbanding kita dahulu dan ia menjadi satu cabaran berat kepada pendidik, terutamanya guru penolong kanan dan juga guru disiplin.
“Kita tidak lagi boleh merotan atau mengambil tindakan tegas jika pelajar melanggar peraturan sekolah, terlalu banyak halangan.
“Jadi, menerusi simposium seperti ini, pastinya dapat membantu warga pendidik dalam menangani murid dan pelajar dengan lebih berhemah,” katanya ketika berucap mewakili Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, Mohd Farid Nor, pada majlis perasmian penutup simposium itu.
Hadir sama Ketua PPD Kuantan, Shaiful Azizi Sukri Kassim, penyelaras simposium, Johari Budin@Mahasan dan bendahari program, Saiful Rosni Muhammad.
Mengulas lanjut mengenai simposium itu, Wan Emril Nizam menjelaskan, terdapat empat objektif utama penganjuran simposium berkenaan.
Katanya, antara yang paling penting adalah memberi pendedahan kepada guru penolong kanan HEM dan guru disiplin berkaitan cara berkomunikasi yang berkesan.
“Selain itu, kita juga berharap menerusi simposium ini dapat meningkatkan kemahiran berinteraksi dan membina rangkaian kolaborasi antara guru disiplin dan penolong kanan dalam daerah Kuantan,” katanya.
Dalam masa yang sama, tahap keberkesanan dalam pelaksanaan tugas juga dapat ditingkatkan menerusi simposium itu.



