Diplomasi berprinsip: PMX bina jambatan, bukan jual maruah

NAIB Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menempelak beberapa pemimpin pembangkang cuba menimbulkan kekeliruan dan persepsi buruk terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), kononnya beliau ‘berlebih-lebihan’ dengan turut berjoget menyambut kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menurutnya, tuduhan ini jelas bersifat murahan, dangkal, dan hanya dicipta untuk menutup ketandusan idea pembangkang sendiri dalam memahami seni diplomasi antarabangsa.

“PMX tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar. Sebaliknya, beliau mengangkat kedudukan Malaysia sebagai rakan setara dalam rundingan antarabangsa.

“Perjanjian ekonomi Malaysia–Amerika Syarikat yang dimeterai baru-baru ini membuktikan kematangan diplomasi PMX.

“Malaysia menang besar dengan pengecualian tarif terhadap 1,711 jenis barangan eksport bernilai RM22 bilion,” katanya.

Jelasnya lagi, pelaburan dua hala bernilai AS$150 bilion (RM715 bilion) membuka ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat.

“Yang berjoget sebenarnya ialah ekonomi Malaysia naik semula selepas lama lesu di bawah kerajaan yang dulu hanya tahu berceramah dengan makian dan fitnah, tapi gagal dalam menguruskan ekonomi negara.

“MB Kedah pula banyak menyanyi dan berkaraoke tapi banyak projek tak siap-siap dan tak jalan-jalan,” ujarnya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pembangkang hari ini cuba kaitkan acara diplomatik ini dengan tuduhan kononnya PMX telah ‘melupakan Gaza’.

“Ini hujah paling cetek dari mereka yang malas membaca fakta.

“Malaysia di bawah PMX tetap menjadi antara negara paling lantang membela Palestin di PBB dan OIC.

“PMX menegaskan pendirian Malaysia menentang pemindahan paksa rakyat Gaza adalah sesuatu yang disifatkan beliau sebagai jenayah kemanusiaan dan pembersihan etnik,” katanya.

Malah Malaysia terus menyalurkan bantuan kemanusiaan, memperkukuh hubungan dengan NGO antarabangsa dan memperjuangkan hak rakyat Palestin melalui saluran diplomatik rasmi.

Mahfuz berkata, sekiranya pembangkang rasa berteriak di ceramah-ceramah Pas lebih berjasa daripada membawa suara Palestin ke meja rundingan dunia, itu tandanya politik mereka masih bertaraf jual ubat kuat tenaga batin di pasar malam sedangkan kerajaan pimpinan PMX membawa politik bertaraf dunia.

“Malaysia boleh berkawan dengan mana-mana negara, termasuk Amerika, tanpa menggadai maruah dan prinsip.

“Inilah roh diplomasi Islam rahmah iaitu menyampaikan mesej kebenaran dengan hikmah, bukan dengan kebencian dan slogan kosong,” jelasnya.

Menurutnya, kerjasama ekonomi dengan AS bukan tanda tunduk tetapi ia strategi untuk memperkuat ekonomi rakyat Malaysia, sambil memastikan kita tetap teguh membela Palestin dan dunia Islam.

Kata Mahfuz lagi, ketika dunia memuji langkah Malaysia menarik pelaburan, memodenkan industri, dan membuka pasaran eksport baharu, pembangkang pula sibuk menilai gerak tangan dan langkah kaki PMX di majlis antarabangsa.

“Inilah beza antara pemimpin yang kerja untuk rakyat, dengan ahli politik yang kerja untuk klip TikTok.

“Saya berharap rakyat dapat menilaikan kerja-kerja yang dilakukan oleh PMX berbeza dengan kepimpinan Pas hari ini jauh ketinggalan,” katanya.

Menurutnya, PMX membina semula imej Malaysia sebagai negara bebas, berprinsip dan disegani dunia.

“Beliau bukan menari untuk kuasa besar tetapi beliau menari atas pentas diplomasi dunia dengan langkah penuh keyakinan, membawa nama Malaysia ke tempat yang lebih tinggi.

“Mereka yang memfitnah beliau ‘berjoget melupakan Gaza’ hakikatnya merekalah yang berjoget dengan kebodohan sendiri,” tegasnya.

Related Posts

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi ini. Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri turut santap bersarapan bersama sempena cuti…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar terus menyemarakkan nilai cinta, ihsan dan kasih sayang serta menolak sebarang hasutan kebencian yang cuba mencetuskan permusuhan antara kaum…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Batu Pahat

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Batu Pahat

Sistem pendigitalan jadikan Baucar Buku MADANI rekod pencapaian luar biasa

Sistem pendigitalan jadikan Baucar Buku MADANI rekod pencapaian luar biasa

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

Tiada campur tangan pihak luar hentikan filem Konspirasi

Tiada campur tangan pihak luar hentikan filem Konspirasi

Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

Marina Ibrahim umum undur diri daripada politik, mahu kembali berkhidmat di lapangan

Marina Ibrahim umum undur diri daripada politik, mahu kembali berkhidmat di lapangan